Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh agenda transformasi digital dan penyelidikan berimpak tinggi menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Tsinghua, Beijing, China dalam pembangunan projek berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi pendidikan.
Kerjasama itu dipacu susulan lawatan kerja rasmi delegasi 10 akademia UPSI ke Universiti Tsinghua dari 5 hingga 9 Januari 2026, yang memberi pendedahan mendalam kepada ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti bertaraf dunia itu, khususnya dalam bidang AI, sistem digital dan aplikasi teknologi pintar dalam pendidikan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata lawatan di bawah Program Pembangunan Profesional Staf UPSI itu adalah antara usaha penting universiti memperkukuh jaringan global, meningkatkan kualiti penyelidikan serta mempercepat pembangunan inovasi dalam pendidikan berasaskan AI yang berimpak kepada komuniti dan negara.
“Kerjasama strategik bersama institusi ternama dunia seperti Universiti Tsinghua adalah pemangkin kepada pemindahan ilmu dan kepakaran, sekali gus meningkatkan daya saing UPSI dalam landskap pendidikan tinggi global,” katanya.
Katanya, pemilihan Universiti Tsinghua sebagai rakan strategik turut bertepatan kerana universiti itu terkenal sebagai peneraju bidang AI dunia apabila dinobatkan sebagai institusi terbaik dunia untuk AI dalam penarafan CSRankings 2026 yang baharu diterbitkan.
Kerjasama ini juga, katanya, selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang ditetapkan sebagai hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara, dengan penekanan kepada peningkatan kualiti institusi, penyelidikan, inovasi, pengkomersialan teknologi serta kesediaan menghadapi perubahan global dan keperluan industri.
Sepanjang lawatan, delegasi UPSI mengikuti sesi perkongsian kepakaran bersama penyelidik Universiti Tsinghua serta melakukan tinjauan ke fasiliti penting seperti makmal industri berteknologi tinggi (iCenter) dan MOOC-CN Education yang menempatkan platform XuetangX yang merupakan Massive Open Online Course (MOOC) terbesar di China.
Delegasi turut melawat pusat inovasi Tsinghua X-lab, yang memberi fokus kepada integrasi AI bagi menyokong penyelidikan serta pembangunan teknologi masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, kolaborasi UPSI-Tsinghua turut diperluaskan melalui penyertaan 10 kakitangan universiti dalam program profesional pendidikan Happy Digital X (HDX) anjuran Tsinghua Southeast Asia Center (Tsinghua SEA), salah satu platform antarabangsa Universiti Tsinghua yang memberi tumpuan kepada transformasi digital, integrasi AI dan pembangunan penyelesaian teknologi secara sistemik.
Penyertaan itu bukan sahaja memperkukuh kompetensi staf, malah membina jaringan profesional strategik di peringkat serantau dan antarabangsa untuk manfaat universiti dalam jangka panjang.”
Kerjasama dengan Universiti Tsinghua ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPSI yang kini berada dalam kedudukan 101-125 bagi penarafan World University Rankings 2026: Educational Studies, dalam memperluas jaringan global bagi memperkukuh penyelidikan dan inovasi teknologi, sejajar dengan matlamat melahirkan graduan serta penyelidik berdaya saing di peringkat antarabangsa, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




