firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendatang baharu Liga A1 Semi-Pro dari Korea Selatan, Uptempo FC nyata tidak main-main apabila dilihat cukup serius menyertai saingan itu musim ini.
Dengan meletakkan sasaran muncul juara Liga A1, kelab berkenaan bakal diperkuatkan kehadiran 25 pemain Korea Selatan dan lima tonggak terbaik anak tempatan dalam mengharungi saingan divisyen kedua Liga Malaysia (Liga M) itu.
Malah, kehadiran jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Woo Sung-yong diyakini mampu membawa impak diperlukan kelab itu yang berazam untuk segera dinaikkan ke Liga Super pada musim berikutnya.
Menurut pemilik kelab, Myeongho Jeong, pasukan berkenaan akan menjadikan Cyberjaya sebagai pusat latihan pasukan di mana Stadium Universiti Multimedia Malaysia (MMU) akan dijadikan venue tuan rumah bagi pasukan itu.
“Kami akan diperkuatkan 20 hingga 25 pemain Korea Selatan yang terdiri daripada gabungan pemain berpengalaman dan junior dalam Liga Korea Selatan (K-League) yang sudah dikenal pasti.
“Malah kami sudah memulakan latihan di Korea dan mereka akan mula menjalani latihan di sini (Cyberjaya) pada 15 Julai ini.
“Kami juga akan mengambil lima pemain kelahiran Malaysia untuk membentuk sebuah pasukan dalam Liga A1 nanti,” katanya kepada Arena Metro.
Uptempo FC muncul kelab luar pertama beraksi di Liga A1 Semi-Pro dan berpeluang naik ke Liga Super sekiranya berjaya menjuarai saingan itu musim ini.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan penyertaan FC Seoul Phoenix namun nama kelab itu kemudian diubah kepada Uptempo FC sekali gus melengkapkan 16 pasukan bersaing musim ini.
Mengulas lanjut, Jeong mengakui Sung-yong akan dibantu jurulatih tempatan.
“Sung-yong adalah bekas pemain utama Korea Selatan yang berpengalaman luas. Beliau akan dibantu empat hingga lima jurulatih Malaysia.
“Saya yakin gabungan ini akan dapat menyumbang sesuatu, malah jurulatih dari Malaysia juga akan meraih manfaat daripada pengalaman yang ada dari Sung-yong itu nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd