suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dalam tempoh hanya tiga tahun selepas dinaik taraf sebagai universiti penuh, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) membuktikan keupayaannya bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
UPTM kini tersenarai dalam dua penarafan universiti berprestij dunia, iaitu ‘Applied Highher Education (AppliedHE) Ranking’ dan ‘Times Higher Education (THE) Impact Ranking’.
Kejayaan itu juga sekali gus mengukuhkan peranannya dalam ekosistem pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
UPTM mencatat kedudukan ke-64 terbaik di ASEAN dan ke-25 di Malaysia dalam AppliedHE Ranking, penarafan antarabangsa yang menilai institusi pengajian tinggi berteraskan aplikasi.
Penilaian itu merangkumi kualiti pengajaran dan pembelajaran, kebolehpasaran graduan serta kerjasama dengan industri.
Lebih membanggakan, pencapaian ini dicapai meskipun UPTM baru berusia tiga tahun sebagai universiti penuh, membuktikan keupayaannya bersaing di peringkat global.
Selain itu, UPTM turut tersenarai dalam THE Impact Ranking 2024 pada kedudukan 1,001 hingga 1,500 dunia, menunjukkan komitmen universiti itu dalam menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi mampan, kelestarian, dan pembabitan komuniti.
Pencapaian itu diraikan sempena Majlis Konvokesyen UPTM Ke-3, yang menyaksikan seramai 2,075 graduan menerima ijazah masing-masing.
Ia sekali gus melambangkan kesinambungan peranan MARA dalam menjadikan pendidikan sebagai tangga mobiliti sosial rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak lebih lima dekad, MARA sudah mengangkat martabat bangsa dengan menjadikan pendidikan sebagai paksi utama pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Menurutnya, bermula daripada Maktab MARA hingga pembentukan jaringan institusi profesional dan pusat kemahiran, MARA membuka jutaan peluang kepada anak-anak Malaysia untuk mengubah nasib keluarga, memperbaiki kehidupan dan membina masa depan lebih bermakna.
“Di bawah ekosistem MARA, pendidikan bukan sekadar proses akademik semata-mata, tetapi proses pembinaan modal insan yang melahirkan kelas menengah baharu serta generasi profesional yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Daripada legasi panjang itulah lahirnya UPTM sebagai universiti profesional yang membangunkan graduan berpengetahuan, berkemahiran, bijaksana, mampu bertindak, dan bersedia menghadapi cabaran industri,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, UPTM sudah mencapai kadar 93.4 peratus kebolehpasaran graduan, membuktikan program yang ditawarkan relevan dengan kehendak industri.
UPTM turut memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kolaborasi dengan institusi dari Jerman, New Zealand dan Mexico.
Terdahulu, KKDW melalui Zahid Hamidi bersetuju untuk melaksanakan perluasan kampus UPTM dan disarankan untuk disegerakan sebagai satu daripada agenda pemantapan kualiti pendidikan IPMA.
Ahmad Zahid berkata, peningkatan pengambilan penuntut sehingga 8,000 orang atau pertambahan 30 peratus, membuktikan keyakinan masyarakat terhadap program serta potensi UPTM dalam membentuk masa depan generasi muda.
“KKDW melihat keperluan mendesak untuk menyegerakan pelaksanaan memperbesarkan kampus UPTM.
“Inisiatif pembangunan kampus akan dilaksanakan bersama penyediaan kemudahan pembelajaran pintar menerusi kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Beliau juga menyarankan agar UPTM terus memperkukuh jaringan antarabangsa, membina kekuatan bidang khusus sebagai identiti universiti, serta memperluas kolaborasi bersama industri dan institusi luar negara bagi meningkatkan daya saing global.
Sementara itu, Naib Canselor UPTM Prof Dr Sharifah Syahirah berkata, pencapaian ini memperkukuhkan reputasi UPTM sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia yang komited terhadap kecemerlangan akademik serta tanggungjawab sosial di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, secara keseluruhan, 70 peratus daripada program akademik yang ditawarkan di UPTM mendapat pensijilan profesional, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan.
“Pencapaian UPTM sebagai antara sembilan IPT di Malaysia yang memperoleh status ‘Platinum Association of Chartered Certified Accountants’ (ACCA) membuktikan kualiti pendidikan UPTM mampu melahirkan akauntan bertauliah dan berkualiti.
“UPTM sentiasa berusaha memastikan penuntut lulus dalam setiap peperiksaan ACCA yang mereka duduki.
“Peratusan kelulusan yang tinggi ini membantu UPTM mencapai tahap ‘world pass rate’ yang diperlukan untuk memperoleh status platinum,” katanya.
UPTM turut menetapkan sasaran untuk tersenarai dalam ‘QS World University Ranking’ menjelang 2026, sebagai bukti komitmen memperkukuh kualiti pendidikan, penyelidikan dan kebolehlihatan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




