syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose tampil memohon maaf atas keterlanjuran membuat hantaran di media sosial berkaitan status perkahwinannya, baru-baru ini sehingga menyentuh sensitiviti pelbagai pihak termasuk keluarga sendiri.
Menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram (IG) sebentar tadi, Uqasha berkata, dia bertanggungjawab atas perkongsian yang menimbulkan tanda tanya banyak pihak itu.
“Saya mahu minta maaf kepada semua yang sudah menonton video, gambar atau kapsyen saya sebelum ini yang sudah mengundang kemarahan semua orang atau keaiban sesiapa pun, saya tiada niat langsung,” katanya.
Dalam hantaran itu, Uqasha yang turut tampil bersama ibunya, Rosmizai Mohd Noor dan lelaki dikenali sebagai Cerai Coach berkata, dia tidak patut mengeluarkan kenyataan dalam keadaan beremosi.
“Saya tak patut cakap berkenaan perkahwinan saya secara umum, saya akui ia salah. Waktu itu saya tak fikir panjang kerana marah, sedih dan terlalu penat… jadi saya beri reaksi yang terlalu emosional.
“Apa pun semua itu sama sekali bukan alasan untuk saya berbuat demikian, saya minta maaf,” katanya.
Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata dia kesal dengan tindakan luar kawalan itu dan seharusnya menguruskan dengan lebih tenang.
“Saya patut uruskan perkara ini secara lebih matang dan privasi, tapi saya tak fikir panjang. Apa yang terjadi ini memang kesilapan daripada saya.
“Jadi, sekarang saya mahu fokus kepada diri sendiri dan memperbaiki (diri) menjadi manusia lebih baik dan paling penting untuk jadi ibu yang baik,” katanya.
Melalui hantaran IG sebelum ini, Uqasha mendakwa dirinya diperbodohkan suaminya yang juga pelakon Kamal Adli dan keluarga melalui apa yang dikatakan tindakan memanipulasi tarikh pernikahan mereka.
Uqasha mendakwa dia dinikahkan jam 9 pagi pada 5 November 2021, namun tarikh pernikahan tertera dalam sijil pernikahan adalah jam 9.30 malam pada 4 November 2021.
Bagaimanapun, Uqasha kemudian menyunting hantaran itu dan kemudian bertindak memadamnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




