Usah ajar anak bersolek terlalu awal demi tumbesaran normal

Usah ajar anak bersolek terlalu awal demi tumbesaran normal

mahaizura@mediaprima.com.my

Pengenalan awal kepada alat solek serta pengambilan makanan ultra proses dikenal pasti antara faktor penyumbang yang mencetuskan akil baligh pramatang dalam kalangan kanak-kanak.

Keadaan itu membimbangkan kerana semakin ramai ibu bapa tampil mendapatkan nasihat doktor apabila menyedari perubahan fizikal anak berlaku lebih awal daripada usia sepatutnya.

Pengarah Klinik Dr Hannani yang juga pengamal perubatan am, Dr Hannani Kamarudin berkata, akil baligh pramatang atau ‘precocious puberty’ merujuk kepada keadaan apabila tanda-tanda baligh muncul terlalu awal.

Bagi kanak-kanak perempuan, katanya, keadaan itu dikategorikan sebagai akil baligh pramatang apabila tanda seperti pembentukan payudara, pertumbuhan rambut di ketiak atau alat sulit serta kedatangan haid berlaku sebelum usia lapan tahun.

“Bagi kanak-kanak lelaki pula, ia dianggap terlalu awal jika perubahan seperti pertumbuhan rambut, perubahan suara atau perkembangan fizikal berlaku sebelum usia sembilan tahun,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman di klinik, kes berkenaan dilihat semakin meningkat apabila ramai ibu bapa datang mendapatkan pemeriksaan untuk anak mereka.

“Ramai ibu bapa datang berjumpa doktor kerana mendapati anak sudah mula ada tanda seperti pembentukan payudara atau bulu halus di kawasan alat sulit.

“Perkara ini membimbangkan kerana ada ibu bapa tidak menyedari ia sebenarnya petanda yang perlu diberi perhatian dari segi kesihatan anak,” katanya.

Kata Dr Hannani, faktor paling kerap ditemukan adalah berat badan berlebihan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak dengan berat badan lebih tinggi biasanya ada kandungan hormon estrogen lebih tinggi, sekali gus boleh mencetus akil baligh lebih awal.

“Makanan seperti ayam goreng, kentang goreng, nugget dan sosej yang tergolong dalam makanan ultra proses boleh menyumbang kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Makanan jenis ini antara penyumbang utama kepada obesiti kanak-kanak yang seterusnya boleh mencetuskan precocious puberty,” katanya.

Selain itu, Dr Hannani berkata, pendedahan kepada bahan kimia dikenali sebagai ‘hormone disruptor’ juga boleh menjadi penyumbang kepada masalah itu.

“Bahan seperti ‘paraben’, ‘phthalates’ dan bahan kimia menyerupai estrogen boleh ditemukan dalam pelbagai produk harian di rumah termasuk minyak wangi, kosmetik, syampu dan produk penjagaan diri.

“Kanak-kanak sekarang juga mudah terdedah kepada penggunaan gajet dan media sosial sehingga mereka meniru gaya orang dewasa seperti memakai solekan.

“Produk dewasa seperti solekan atau minyak wangi sebenarnya tidak sesuai digunakan kanak-kanak yang berusia bawah lapan tahun,” katanya.

Menurut Dr Hannani, antara tanda paling mudah yang boleh diperhatikan ibu bapa ialah kemunculan jerawat, perubahan bau badan serta pertumbuhan fizikal yang berlaku secara mendadak.

“Ada ibu bapa tiba-tiba perasan seluar anak perlu ditukar kepada saiz lebih besar dengan cepat, ketinggian meningkat mendadak atau badan mula berbau.

“Perkara ini mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya boleh menjadi tanda awal akil baligh,” katanya.

Beliau berkata, ada juga tanda yang cuba disorokkan kanak-kanak kerana mereka berasa malu dengan perubahan tubuh termasuk perubahan pada payudara, kecenderungan memakai pakaian lebih besar atau perubahan emosi seperti mudah terasa hati serta suka menyendiri.

“Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami akil baligh awal akan berasa malu kerana tubuh mereka berubah lebih awal berbanding rakan sebaya.

“Mereka mungkin kurang keyakinan diri dan tidak memahami kenapa perubahan itu berlaku pada diri mereka,” katanya.

Bagi mengesahkan keadaan itu, doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk melihat tanda-tanda akil baligh.

“Jika perlu, pemeriksaan tambahan seperti sinar X untuk melihat kematangan tulang atau ujian darah bagi memeriksa hormon seperti estrogen dan FSH juga boleh dilakukan.

“Dalam kes tertentu yang menunjukkan perkembangan terlalu awal, pesakit mungkin disarankan menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) otak bagi memastikan tiada masalah lain pada bahagian otak.

“Kebanyakan kes hanya memerlukan pemantauan jika keputusan pemeriksaan normal,” katanya.

Namun kata beliau, jika pertumbuhan terlalu cepat, pesakit mungkin memerlukan rawatan hormon dan akan dirujuk kepada pakar di hospital.

Dr Hannani berkongsi langkah boleh dilakukan ibu bapa bagi mengurangkan risiko akil baligh pramatang dalam kalangan kanak-kanak.

  • Kawal berat badan anak kerana obesiti boleh meningkatkan hormon estrogen.

  • Elak guna alat solek dan minyak wangi yang mungkin mengandungi bahan mengganggu hormon.

  • Hadkan makanan ultra proses seperti nugget, sosej, ayam goreng dan makanan segera.

  • Perhatikan perubahan fizikal anak termasuk jerawat, bau badan serta pertumbuhan fizikal.

  • Jumpa doktor jika tanda muncul terlalu awal.

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top