BERNIAGA makanan bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi juga menjaga keberkatan dan amanah dalam memastikan setiap hidangan yang disediakan benar-benar halal.
Demikian pegangan yang disematkan Ketua Pegawai Eksekutif Azam Pandan Sdn Bhd (Azam Pandan Catering), Mazmadi Mohamad dalam menguruskan perniagaan katering halal yang bertapak lebih 25 tahun.

MAZMADI
“Kami tidak pernah mengambil jalan pintas dalam memastikan bahan mentah yang digunakan halal dan bersih.
“Contohnya, ayam yang kami gunakan mesti diperoleh dari ladang yang disahkan halal. Kami juga tidak membeli di pasar borong kerana status halalnya yang diragui selain tidak menggunakan sebarang penambah perasa monosodium glutamat (MSG) dalam masakan,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Menurutnya, cabaran terbesar dalam menguruskan perniagaan makanan halal bukan sekadar mendapatkan bahan mentah yang terjamin, tetapi juga mengekalkan standard penyediaan makanan agar sentiasa memenuhi piawaian halal dan bersih.
Apatah lagi dalam dunia perniagaan makanan, kepercayaan pelanggan adalah segala-galanya.
“Melalui pensijilan halal yang diperoleh dapur berpusat dan premis makanan Azam Pandan Catering daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2008, ia mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan ditawarkan.

MAZMADI (kiri) dan Pengarah Azam Pandan Catering, Harris Hashim (kanan) ketika membawa Sinar Islam melawat dapur berpusatnya di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
“Malah, masjid dan surau juga menjadi antara pelanggan utama kami terutama pada bulan Ramadan ini, selain majlis perkahwinan, keraian, acara korporat dan sebagainya pada bulan-bulan lain,” katanya yang menawarkan pelbagai jenis menu termasuk hidangan masakan Melayu, Cina, India, Barat, Arab, pencuci mulut dan lain-lain.
Selain mempunyai dapur berpusat di Subang Bestari, Azam Pandan Catering turut mengendalikan empat lagi cawangan kafeteria dan premis makanan di Hotel Maya Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur; Puteri Bay Hotel Melaka; Proton Shah Alam, Selangor dan Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur.
Di samping itu, Mazmadi yang juga bekas pengurus besar sebuah hotel terkemuka di London itu menjelaskan, konsistensi dalam rasa dan kualiti juga tidak boleh diabaikan, bahkan ia menjadi faktor utama yang membuatkan pelanggan kembali mendapatkan perkhidmatan katering mereka.

ANTARA hidangan pencuci mulut yang disediakan oleh Azam Pandan Catering. -Foto: IHSAN AZAM PANDAN SDN BHD
“Cef yang bekerja dengan kami sudah lebih 25 tahun. Sebab itu, rasa makanan kami tidak berubah. Kalau hari ini pelanggan makan nasi beriani, tahun depan pun mereka akan dapat rasa yang sama,” katanya.
Jaminan kualiti makanan
Bagi menangani lonjakan tempahan sepanjang bulan puasa, Mazmadi menjelaskan, Azam Pandan Catering melakukan persediaan awal dengan menyediakan pes masakan dua bulan sebelum Ramadan.
“Kalau hendak buat semuanya pada hari kejadian, memang tak sempat. Jadi, kami buat pes awal seperti rendang dan daging masak hitam untuk memastikan makanan dapat disediakan dengan cepat tanpa mengorbankan kualiti,” jelasnya.
Walaupun menyediakan makanan dalam kuantiti besar, beliau menegaskan, aspek kebersihan dan halal tetap menjadi keutamaannya.
Sepanjang Ramadan, jelasnya, penyediaan makanan akan bermula seawal jam 10 pagi, diikuti dengan proses pembungkusan pada jam 2 petang, sebelum dihantar kepada pelanggan atau masjid sekitar jam 4 petang bagi memastikan makanan tiba dalam keadaan segar untuk berbuka.

WALAUPUN menyediakan makanan dalam kuantiti besar, aspek kebersihan dan halal tetap menjadi keutamaan Azam Pandan Catering. -Foto: IHSAN AZAM PANDAN SDN BHD
Andai melibatkan tempahan untuk sahur pula, kakitangan Azam Pandan Catering perlu berjaga malam untuk menyelesaikannya.
“Penyediaan awal penting untuk memastikan makanan sejuk sebelum ia dibungkus bagi mengelakkan ia basi.
“Satu lagi, kami tak guna senduk kayu sebab ia boleh menyerap bahan yang digunakan sebelum ini. Semua senduk dan peralatan ialah besi tahan karat, sesuai dengan garis panduan halal,” terangnya.
Jika mendapat aduan tentang makanan, ujar Mazmadi, pihaknya yang memang menyimpan sampel makanan akan menyerahkan kepada makmal untuk dianalisis.
“Setakat ini, alhamdulillah tiada aduan lagi diterima daripada pelanggan.
“Cuma berdepan dengan pelanggan cerewet itu perkara biasa memandangkan semua orang ada cita rasa masing-masing,” katanya sambil menjelaskan Azam Pandan Catering berupaya menyediakan tempahan juadah hingga 6,000 orang pada satu masa.
Halal bukan ketika Ramadan sahaja
Walaupun Ramadan antara bulan paling sibuk, Mazmadi menegaskan, beliau tidak berkompromi dalam soal kualiti halal dan menyifatkan bahawa ia tidak hanya terhad dalam bulan tersebut.

MAZMADI menunjukkan ketuhar combi yang digunakan Azam Pandan Catering bagi memudahkan dan mempercepatkan masakan ayam serta daging.
“Apalagi kami ada pelanggan tetap contohnya dari sektor korporat dan masjid yang bergantung kepada katering kami setiap hari. Kalau makanan tak konsisten, mereka akan hilang kepercayaan,” katanya yang turut merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan menyediakan produk pes dan makanan sedia dimakan menggunakan teknologi retort pada pertengahan tahun ini.
Menurut perspektifnya, industri makanan halal bukan sekadar mendapatkan sijil, tetapi juga menjaga integriti dalam setiap peringkat penyediaan.
“Saya selalu ingatkan staf, jangan ambil jalan pintas dalam bab halal. Kita bukan sekadar menjual makanan, kita menjual kepercayaan,” ungkapnya.