Setiap kali menjelang Ramadan, sering timbul isu rakaat solat Tarawih antara lapan atau 21 rakaat diselang-seli dengan bacaan selawat. Adakah perbuatan itu dianjurkan dan apakah amalan paling afdal dilaksanakan?
JAWAPAN
Solat Tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkannya, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran umat Islam di masjid. Solat Tarawih bermula sebaik sahaja seorang itu selesai daripada mengerjakan solat fardu Isyak (seelok-eloknya selepas mengerjakan solat sunat ba’diyah Isyak kerana solat itu juga sunat muakkad). Waktu untuk menunaikan solat Tarawih berkekalan sehingga terbit fajar. Ia dikerjakan dengan dua-dua rakaat. Jika dikerjakan solat Tarawih itu empat rakaat dengan satu salam, tidak sah solatnya kerana menyalahi yang disyariatkan. (lihat kitab Al-Majmuk: 4/38)
Persoalan mengenai jumlah rakaat solat Tarawih sebenarnya perkara lama yang dibincangkan oleh ulama muktabar, tetapi malangnya ia sentiasa diungkit-ungkit dan ditimbulkan kekecohan oleh pihak yang masih tidak berpuas hati. Bilangan rakaat solat Tarawih adalah perkara yang termasuk di dalam perbezaan pendapat ulama. Seseorang Muslim tidak boleh bersikap bersikap keras dalam perkara yang ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.
Mengikut Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di, tidak ada dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat Tarawih yang dilakukan Rasulullah SAW kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119)
Oleh itu, semakin banyak ibadah dilakukan pada malam Ramadan, semakin banyaklah pahala yang akan diperoleh.
Terdapat segelintir umat Islam bersikap keras dengan menyatakan bahawa solat Tarawih hanya lapan rakaat dan sesiapa yang melakukan lebih daripada itu adalah suatu perkara bidaah. Hujahnya ialah hadis daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang bertanyakan Sayyidatuna Aisyah RA: “Bagaimanakah solat Nabi SAW di dalam bulan Ramadan?” Maka jawab Sayyidatuna Aisyah: ‘Nabi tidak melebihkannya di dalam Ramadan dan di luar Ramadan melebihi 11 rakaat …(11 rakaat ialah setelah dicampur 3 rakaat Witir)'”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Kalau diteliti hadis ini, ia hanya menunjukkan kebiasaan Nabi SAW menunaikan solat malam pada Ramadan dan selainnya dengan 11 rakaat. Namun begitu, dalil yang jelas menunjukkan bahawasanya solat malam ini termasuk solat Tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, seseorang bertanya kepada Nabi SAW tentang solat malam, maka jawab baginda: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seseorang kamu bimbangkan masuknya waktu Subuh maka dia solatlah satu rakaat sebagai solat witir.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru apabila dilihat pendapat ulama yang muktabar, akan didapati bilangan rakaat solat Tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu.
Menurut jumhur ulama pula yang terdiri daripada ulama aliran mazhab Syafii, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya, mereka menyatakan bahawa bilangan solat Tarawih ialah 20 rakaat berdasarkan hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya bermaksud: “Bahawasanya mereka (sahabat) nabi, mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan Ramadan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.” (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Subki)
Di samping itu, terdapat riwayat daripada ulama salaf yang menunaikan solat sunat Tarawih lebih daripada 20 rakaat. Terdapat dalam kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat. (Rujuk buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 120)
Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam kitabnya (Fatawa Syeikh Ibn ‘Uthaimin – 1/407), beliau berkata: “Dan perkara ini (bilangan rakaat Tarawih) adalah luas. Maka tidak diingkari ke atas siapa yang solat dengan 11 rakaat atau 23 rakaat….”, katanya lagi: “Tidak sewajarnya bagi kita untuk berlebih-lebihan dan melampau-lampau. Sebahagian manusia ada yang melampau-lampau dalam bentuk (kononnya) beriltizam dengan sunnah (Nabi) dalam bab bilangan (solat Tarawih), mereka mengatakan: “Tidak boleh ada tambahan atas bilangan (solat Tarawih) yang datang dari sunnah. Mereka juga mengingkari dengan keingkaran yang keras terhadap sesiapa yang melakukan penambahan dalam perkara ini, mereka mengatakan perkara tersebut adalah dosa dan derhaka. Perbuatan ini tidak syak lagi kesalahannya. Bagaimana boleh jadi dosa dan derhaka, (kerana) telah ditanya kepada Nabi SAW tentang solat malam, kemudian Nabi mengatakan : “Dua rakaat, dua rakaat”, dan baginda tidak menghadkan bilangan rakaatnya… Maka apabila Nabi SAW menerangkan kaifiat (cara solat) tanpa mengehadkan bilangan (rakaat), telah diketahui bahawasanya dalam perkara ini adanya keluasan…”
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula berkata: “Dan solat Tarawih itu bahawasanya solatnya sepertimana mazhab Abu Hanifah, al-Syafii, dan Ahmad dengan 20 rakaat ataupun sepertimana mazhab Malik dengan 37 rakaat, atau 13 rakaat, atau dengan 11 rakaat, sesungguhnya (semua ini) baik, sepertimana yang dinaskan oleh Imam Ahmad dengan ketiadaan at-Tauqif. Maka boleh dilakukan dengan banyak rakaat dan sedikit berdasarkan panjang atau pendeknya qiam.”
Ibn Qudamah pula menyatakan: “Dan yang terpilih di sisi Abu Abdillah (iaitu Imam Ahmad) RA (solat malam) 20 rakaat, dan inilah pendapat at-Thauri, Abu Hanifah, as-Syafii, dan berkata pula Malik: “36 rakaat”. (Lihat kitab al-Mughni – 1/457)
Imam al-Nawawi pula menyatakan: “Solat Tarawih itu sunah dengan ijmak ulama. Mazhab kami (berpendapat) bahawasanya (bilangannya) 20 rakaat dengan 10 kali salam, boleh dilakukan sendirian dan berjemaah”. (Lihat kitab al-Majmu’ – 4/31)
Al-Suyuti pula berkata: “Hadis yang sahih dan hasan dalam perkara qiyam Ramadan dan galakan melakukannya tidak mengkhususkan bilangan (rakaat). Ia juga tidak juga thabit bahawasanya Nabi SAW solat tarawih dengan 20 rakaat. Adapun solat malam ini, solat yang tidak disebutkan bilangannya. Baginda menghentikan (solat berjemaah) pada malam yang keempat kerana bimbang difardukan ke atas umat, maka perkara ini akan menyusahkan mereka…” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah – 27/142-145)
Jelasnya, bilangan rakaat solat sunat Tarawih termasuk dalam perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperbalahkan.
Amalan selawat di antara rakaat Tarawih
Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW amalan yang sangat dituntut. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan.” (Surah al-Ahzab ayat 56)
Berkaitan selawat di antara rakaat solat Tarawih, ulama menjelaskan bahawa bacaan selawat yang dilaksanakan di antara rakaat solat Tarawih bukanlah sebahagian daripada rukun atau syarat sah solat, dan tidak ditetapkan secara khusus oleh Rasulullah SAW sebagai amalan yang mengikat dalam pelaksanaan solat Tarawih.
Bagaimanapun, bacaan itu termasuk dalam kategori zikir yang diharuskan, berdasarkan keumuman dalil menganjurkan umat Islam memperbanyakkan selawat dan zikir.
Daripada sudut amalan, bacaan selawat di antara rakaat Tarawih lazimnya dilakukan dengan beberapa tujuan, antaranya sebagai ruang rehat kepada jemaah, pengisian masa dengan zikir yang bermanfaat serta usaha menghidupkan suasana ibadah di masjid sepanjang malam Ramadan.
Perlu ditegaskan ia tidak boleh diyakini sebagai kewajipan, dan tidak wajar dianggap sebahagian yang tetap atau tidak terpisah daripada solat Tarawih itu sendiri. Keyakinan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan terhadap hakikat ibadah sebenar.
Dalam kalangan ulama, terdapat pandangan yang membenarkan amalan selawat ini berdasarkan keumuman dalil yang menggalakkan zikir dan selawat ke atas Nabi SAW. Pada masa yang sama, sebahagian ulama turut mengingatkan agar bacaanitu tidak dilaksanakan secara berlebihan sehingga memberatkan jemaah atau menimbulkan anggapan ia tuntutan khusus disyariatkan dalam solat Tarawih.
Perbezaan ini termasuk dalam ruang khilaf diiktiraf dalam syariat, dan tidak tergolong dalam bidaah tercela selagi amalan itu kekal dalam lingkungan zikir dibenarkan serta tidak disertai keyakinan menyalahi prinsip ibadah.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd




