Usah biar hidangan raya lebih dua jam elak keracunan makanan

Usah biar hidangan raya lebih dua jam elak  keracunan makanan

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihati tidak membiarkan hidangan raya terlalu lama pada suhu bilik kerana ia boleh meningkatkan risiko keracunan makanan, terutama ketika musim rumah terbuka Aidilfitri.

Pensyarah kanan mikrobiologi Fakulti Sains Gunaan, Mohd Taufiq Mat Jalil, 41, berkata, makanan yang dibiarkan lebih dua jam pada suhu bilik berpotensi rosak berikutan bakteria mudah membiak dalam keadaan itu.

Menurutnya, hidangan popular ketika musim perayaan seperti rendang, kari dan mi kari lebih mudah rosak kerana mengandungi santan serta kuah yang mempunyai kandungan air yang tinggi.

“Makanan yang mempunyai kandungan air tinggi sebenarnya sangat menyokong pertumbuhan bakteria. Sebab itu makanan bersantan atau berkuah yang sering disediakan ketika raya lebih cepat rosak jika tidak disimpan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, suhu persekitaran juga memainkan peranan penting kerana bakteria mudah membiak pada suhu bilik sekitar 30 hingga 32 darjah Celsius.

“Apabila makanan yang sudah dimasak dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama, bakteria boleh membiak dengan cepat dan menyebabkan makanan rosak dalam tempoh singkat,” katanya.

Selain itu, katanya, pencemaran silang juga antara punca utama keracunan makanan ketika penyediaan hidangan.

“Contohnya apabila papan pemotong yang sama digunakan untuk memotong sayur dan ayam mentah tanpa dibasuh terlebih dahulu. Bakteria daripada bahan mentah boleh berpindah ke makanan lain,” katanya.

Beliau menjelaskan pencemaran silang boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu daripada makanan kepada makanan, daripada peralatan kepada makanan serta daripada manusia kepada makanan.

“Jika penyedia makanan tidak menjaga kebersihan tangan atau sedang sakit seperti demam atau cirit-birit, bakteria boleh dipindahkan kepada makanan yang disediakan,” katanya.

Mengulas mengenai keracunan makanan, beliau berkata ia boleh berlaku melalui dua keadaan iaitu jangkitan makanan dan keracunan makanan akibat toksin.

“Jangkitan makanan berlaku apabila seseorang makan makanan yang mengandungi bakteria hidup seperti Salmonella yang kemudian membiak dalam sistem pencernaan.

“Keracunan makanan pula berlaku apabila makanan mengandungi toksin yang dihasilkan oleh bakteria dan simptom biasanya muncul lebih cepat selepas makan,” katanya.

Menurutnya, antara simptom biasa keracunan makanan ialah cirit-birit, muntah, loya, sakit perut serta pening kepala.

Katanya, golongan yang lebih berisiko mengalami komplikasi ialah kanak-kanak, ibu hamil, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit kronik atau imuniti rendah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera minum air yang mencukupi sekiranya mengalami cirit-birit bagi mengelakkan dehidrasi.

“Jika simptom seperti muntah atau cirit-birit berterusan, sebaiknya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memeriksa keadaan makanan sebelum dimakan.

“Jika makanan berbau masam, berbuih, berlendir atau rasanya pelik, elakkan daripada memakannya kerana itu tanda makanan sudah rosak.

“Penyedia makanan juga perlu memastikan kebersihan tangan, menggunakan peralatan yang bersih serta tidak membiarkan makanan terlalu lama pada suhu bilik bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top