Usah pandang mudah cabaran Melaka United

Usah pandang mudah cabaran Melaka United

ALOR SETAR: Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diingatkan tidak memandang mudah kemampuan Melaka United FC walaupun pasukan itu sedikit ‘tempang’ susulan beberapa tonggaknya tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak berkata pasukan Melaka United masih mempunyai kelebihan kerana mereka akan beraksi di laman sendiri.

“Tidak penting siapa yang akan turun beraksi kerana mereka tetap akan memulakan perlawanan esok dengan 11 pemain. Tambahan pula, mereka menang 1-0 ketika menentang Perak FC Ahad lalu,

“Jadi ketika ini moral dan semangat mereka berada pada tahap yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini, sebelum berlepas ke Melaka hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilaporkan berkata beberapa pemain simpanan terpaksa diturunkan bagi mengganti pemain yang cedera dan digantung, membabitkan Sony Norde, Alex Goncalves, Mohd Akmal Mohd Zahir, Wan Amirul Afiq Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.

Dalam pada itu, Aidil Sharin berkata hasrat untuk melihat barisan pemain utama KDA FC untuk turun beraksi malam esok juga masih belum dipastikan kerana keputusan ke atas Fazrul Danel Mohd Azman dan Rodney Celvin yang dikenakan kad merah sebelum ini hanya diketahui esok.

“Kita masih belum tahu sama ada mereka dibenarkan untuk beraksi atau tidak dan itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan kerana kita perlu menurunkan pemain yang lain. Tetapi, kita telah bersedia dengan segala kemungkinan.

Sementara itu, mengenai prestasi pemain muda, beliau berkata mereka perlu mengekalkan prestasi yang baik sepanjang musim ini dan jangan mudah berasa ‘hebat’ selepas turun beraksi dalam satu atau dua perlawanan.

“Pemain muda ini, kalau mereka diberi peluang untuk beraksi memang mereka akan beri yang terbaik. Mereka dikelilingi oleh pemain lama jadi banyak benda yang boleh dipelajari untuk terus maju pada masa hadapan,” katanya.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top