Usah panik, turun tingkap segera

Usah panik, turun tingkap segera

TRAGEDI menimpa enam beranak yang terperangkap dalam kereta yang tenggelam di terusan Sungai Korok 5 Julai lalu membuka mata banyak pihak mengenai aspek keselamatan sama ada di jalan raya mahu pun pemanduan.

Selain lokasi kejadian sudah dipasang tiang amaran sementara, kerajaan Kedah juga sebelum ini tampil dengan cadangan kawasan itu perlu ditinggikan dan ditanam pohon buluh madu bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Wartawan Metro Ahad NURUL HUSNA MAHMUD mendapatkan Presiden Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya JAMIL MANAN SUPRI untuk mengulas mengenai tindakan kecemasan yang boleh diambil jika berada dalam situasi terbabit.

Ramai memberikan reaksi mengenai apa yang boleh dibuat jika terperangkap dalam kereta yang tenggelam. Boleh kongsikan pandangan tuan?

Sebagai langkah keselamatan, pemandu adalah dinasihatkan supaya merancang perjalanan mengambil kira faktor cuaca, masa perjalanan. Elakkan memandu bagi perjalanan jauh di waktu lewat malam, tengah hari, selepas makan atau dalam keadaan keletihan.

Kita perlu memastikan kenderaan, terutama tayar, brek, lampu brek berfungsi dengan baik termasuk menyediakan peralatan yang lengkap seperti pemecah cermin kereta, lampu suluh, tali, termasuk segi tiga keselamatan.

Bagaimana dengan peranan pihak berwajib?s

Pihak yang berwajib, mahu pun badan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarela mengambil inisiatif untuk bersama-bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menganjurkan latihan kecemasan menyelamatkan diri semasa berlaku insiden terjunam dan aspek lain seperti mencegah kebakaran dan bantuan CPR.

Sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan laluan berisiko tinggi berhampiran sungai, tasik dan selekoh tajam, JKR dan PBT wajib memasang lebih banyak papan notis amaran, lampu jalan yang mencukupi, lampu amaran, penghadang jalan mengikut ketinggian yang mampu menyelamatkan kenderaan terbabas dan tidak terkecuali memasang perangkap laju dengan jarak lebih panjang sebelum laluan black spot dan pastikan keadaan jalan dalam keadaan baik, tidak berlubang, garisan berkembar jelas serta selamat digunakan. Had kelajuan juga perlu dikaji atau dikurangkan di laluan berisiko.

Bagaimana dengan inisiatif lain?

Pengguna juga perlu dan digalakkan berkorban sedikit masa dan wang ringgit dengan mengambil langkah untuk mengikuti kursus pemanduan berhemah yang menyediakan pembelajaran mengenai kaedah pengawalan kenderaan terbabas dan mengelakkan perlanggaran. Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini demi keselamatan diri.

Sebagai perkongsian bersama pengguna, pengetahuan asas adalah perlu untuk mempelajari teknik menyelamatkan diri apabila berlaku kecemasan kenderaan terjunam dalam sungai atau tasik.

Apa saranan kepada orang ramai yang berdepan situasi cemas seperti ini?

Pertama, jangan panik. Fokuskan diri untuk keluar segera. Cabut tali pinggang keselamatan dahulu. Ini langkah pertama apabila kereta terjunam.

Jangan cuba buka pintu. Tekanan air dari luar terlalu kuat dan pintu sukar dibuka. Turunkan tingkap dengan segera sementara pertama, sistem elektronik kereta masih boleh berfungsi.

Pastikan alat pemecah cermin sentiasa berhampiran tempat duduk pemandu dan mudah diambil untuk memecahkan cermin tingkap supaya air dari luar dapat masuk dalam kenderaan mengikut paras yang membolehkan pintu dibuka untuk keluar.

Kemudian keluar melalui tingkap dengan menolak diri keluar secepat mungkin.

Langkah keselamatan lain yang mungkin sesuai?

Sebagai alternatif kepala penyandar atau sebarang objek keras yang ada gunakan untuk memecahkan cermin tingkap.

Jangan letakkan peralatan penting dalam but kereta, letak di tempat mudah dicapai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top