Bulan Ramadan ini umat Islam saling berkejar berinfak dan menderma. Ada dalam kalangan mereka berinfak tanpa memerlukan bantuan orang lain. Ada yang berinfak memerlukan kepada sokongan dan bantuan orang lain. Atas asas itu, semua yang ingin melakukan program infak perlu tahu tentang hukum hakam supaya tidak terjebak dengan penipuan atau perbalahan sesama manusia yang pada asalnya objektif tersebut amat mulia.
Baru-baru ini tular apabila sebahagian peniaga makanan membuat pengumuman dalam laman sosial untuk menderma sebanyak 50 bungkusan makanan. Pada masa sama mereka juga membuat pengumuman untuk mengutip sumbangan awam untuk menanggung kos 50 bungkusan tersebut dalam laman sosial sedangkan itu niat asal peniaga terbabit. Jadi, ramai yang bertanya adakah itu dibenarkan oleh syarak? Ia seakan-akan menunggang agama untuk mendapat keuntungan dari perniagaan makanannya.
Hukum ini perlu difahami oleh semua pihak tanpa terkecuali kerana ia banyak dilakukan oleh NGO, peniaga makanan, pakaian dan lain-lain. Sekiranya perkara ini tidak difahami dengan betul, ia akan menjadi punca berbalahan dalam kalangan umat Islam pada masa hadapan. Lebih menyedihkan lagi agama Islam dikaitkan bersama hingga menyebabkan nama baik Islam tercemar di mata semua pihak.
Hukum infak makanan pada bulan Ramadan
Hukum memberi infak makanan pada bulan Ramadan adalah sunat dan sangat digalakkan, malah pahalanya lebih besar berbanding bulan-bulan lain kerana kelebihan Ramadan yang luar biasa sebagaimana dijanjikan Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang tersebut.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan memberi makanan kepada orang berpuasa adalah amalan sunah yang menyebabkan mereka yang berinfak memperoleh pahala yang besar di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu para sahabat RA dan para salaf sangat menitikberatkan perbuatan memberi makan kepada orang berpuasa pada Ramadan. Antara bentuk infak makanan yang dianjurkan ialah, menyediakan juadah berbuka puasa di masjid, memberi pek makanan kepada fakir miskin, menaja majlis iftar, memberi kurma atau air untuk berbuka dan banyak lagi kaedah yang digalakkan walaupun infak tersebut hanya dengan sesuatu yang kecil, tetapi pahalanya tetap besar.
Peringatan dalam berinfak
Bagi memastikan program infak kita membawa berkat tanpa sebarang masalah, maka beberapa perkara perlu dijaga:
l
Ikhlas kerana Allah, bukan untuk publisiti.
l
Tidak berlaku pembaziran makanan.
l
Mendahulukan golongan yang benar-benar memerlukan.
l
Tiada unsur mendapat keuntungan peribadi.
Hukum peniaga makanan minta sumbangan untuk menyediakan makanan berbuka kepada orang berpuasa
Sebagaimana dimaklumkan di atas bahawa dalam Islam hukum asal perbuatan mengajak orang lain berinfak adalah harus dan digalakkan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah…”
Namun begitu, peniaga yang berbuat demikian perlu berhati-hati dengan dua perkara:
Pertama hukum dari sudut syarak:
Peniaga perlu memulakan infak makanan itu terlebih dahulu dan barulah mengajak orang lain untuk bersama-sama. Sebagai contoh, peniaga menyediakan 50 bungkus makanan untuk diinfakkan kepada fakir miskin dan 50 bungkus itu adalah di bawah tanggungan peniaga 100 peratus. Manakala selebihnya barulah dia ruang kepada orang lain untuk berinfak makanan kerana fakir miskin melebih 50 orang. Jika ini berlaku maka ia menjadi contoh terbaik. Ini bertepatan dengan dirman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa.”
Tidak memaksa pembeli kerana infak mestilah sukarela, bukan dalam bentuk apa jua jenis paksaan yang mengelirukan penderma hingga mereka terpaksa membeli makanan yang disediakan.
Tidak mengelirukan harga kerana harga makanan yang dijual mesti jelas. Tidak boleh menaikkan harga sesuka hati atas alasan ‘infak’ tanpa penjelasan.
Perlu diaudit kesahihan dan ketelusan pengagihan yang dibuat supaya tidak menyebabkan perbalahan dan pertikaian pada masa hadapan.
Amanah dalam pengurusan dana. Jika dana dikumpulkan atas nama kebajikan, ia mesti disalurkan kepada tujuan tersebut dan tidak disalahguna.
Tidak menjadikan sedekah sebagai strategi manipulasi emosi untuk menarik orang berinfak sebagai contoh, menggunakan cerita palsu untuk meraih simpati orang ramai.
Kedua hukum dari sudut undang-undang di Malaysia
Peniaga yang ingin mengutip derma secara komersial dengan membuka tabung derma secara fizikal atau secara maya kepada orang ramai wajib mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa walaupun untuk tujuan memberi orang berbuka puasa. Dalam beberapa kes, individu yang mengutip derma tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang atau denda kerana menjalankan kutipan awam secara tidak sah tanpa sebarang keizinan.
Di Malaysia, aktiviti memungut derma daripada orang ramai biasanya tertakluk kepada undang-undang seperti:
Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200) Peraturan Majlis Agama Islam Negeri
Kelulusan pihak berkuasa tempatan atau polis.
Isu utama dari sudut undang-undang yang biasanya dinilai oleh pihak berkuasa ialah:
Ada atau tidak permit pungutan derma.
Tujuan derma jelas atau tidak.
Siapa yang menguruskan dana.
Adakah berlaku unsur penipuan atau penyalahgunaan dana. Jika kutipan derma dibuat secara terbuka di tempat awam tanpa kebenaran, ia boleh dianggap kutipan derma tidak sah.
Sebagai kesimpulan, saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengutip dana awam bagi tujuan infak. Jangan sesekali jual nama agama demi keuntungan peribadi hingga sanggup mengabaikan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Peniaga yang menjual makanan sambil membuka ruang infak atau meminta sumbangan awam adalah harus di sisi syarak tetapi hukumnya akan berubah menjadi haram sekiranya perbuatan tersebut bercanggah dengan undang-undang negeri atau negara hingga membawa kepada kemudaratan hingga menyebabkan nama agama Islam tercalar akibat perbuatan kita tidak bertanggungjawab. Ikutlah prosedur kutipan dana awam yang ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Negeri, Bank Negara dan lain-lain.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




