Usah sekat rezeki jurugambar sambilan

Usah sekat rezeki jurugambar sambilan

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan di lokasi tumpuan pelancong seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) perlu dijalankan secara adil dan berhemah supaya tidak menjejaskan imej pelancongan negara terutama membabitkan jurugambar bebas yang mencari rezeki secara sah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata pihaknya menyambut baik sebarang langkah penguatkuasaan membabitkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan ikonik namun tindakan perlu diambil secara berpatutan.

“Mata menyambut baik sebarang usaha penguatkuasaan di kawasan pelancongan utama seperti KLCC, khususnya yang melmbabitkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

“Ia kerana keselamatan di kawasan berkenaan adalah tanggungjawab bersama namun sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil dan berhemah agar tidak menjejaskan imej pelancongan negara.

“Namun, kami berharap penguatkuasaan dijalankan dengan pendekatan mendidik dan bukan menghukum secara melulu terutama kepada jurugambar tempatan yang mencari rezeki secara sah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, pihaknya berpandangan jurugambar bebas terutama yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong, sebahagian daripada ekosistem pelancongan bandar yang menyumbang kepada ekonomi kreatif dan pengalaman lebih bermakna.

Kata Mohd Khalid, golongan berkenaan juga memainkan peranan memperkayakan pengalaman pelancong selain mempromosikan negara di media sosial menerusi gambar kenangan.

“Gambar kenangan mereka bukan sahaja menyimpan memori indah, malah mempromosikan negara kita di media sosial dan pelantar digital global.

“Dalam masa sama, kami mencadangkan polis pelancong memainkan peranan lebih aktif dan efektif dalam memantau kawasan seperti KLCC, Bukit Bintang serta tapak pelancongan utama lain.

“Kehadiran polis pelancong di lokasi pelancongan bukan hanya untuk keselamatan, tetapi juga sebagai pemudah cara dan rujukan kepada pelancong serta penggiat industri kecil seperti jurugambar,” katanya.

Katanya, antara cadangan termasuk memperjelas atau memaparkan garis panduan aktiviti fotografi secara terbuka dan mudah diakses, mempermudahkan sistem permohonan permit untuk penggambaran termasuk kepada operator kecil dan bebas serta mewujudkan ‘zon mesra fotografi’ di kawasan pelancongan.

Beliau turut mencadangkan pendekatan advokasi dan dialog antara pihak berkuasa serta pemain industri ekonomi kreatif dalam menangani isu berkaitan secara lebih inklusif.

“Mata percaya keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan, namun ia tidak seharusnya menjejaskan mata pencarian rakyat dalam sektor pelancongan.

“Pendekatan bijak, inklusif dan seimbang perlu diambil agar Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan selamat, mesra dan progresif,” katanya.

Baru-baru ini, tular beberapa insiden membabitkan jurugambar bebas di sekitar KLCC, termasuk tindakan agresif terhadap pengunjung, mengenakan caj tinggi kepada pelancong serta menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran.

Insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku, malah semakin kerap dilaporkan dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai yang mengunjungi kawasan pelancongan ikonik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top