Usah selesa sangat!

Usah selesa sangat!

hafizithnin@mediaprima.com.my

Penjagaan imej bukan sahaja untuk kaum hawa, malah golongan lelaki juga tidak boleh mengetepikan hal berkenaan kerana ia boleh memberi kesan penilaian khalayak kepada seseorang.

Sekiranya ada yang merasakan untuk menjaga imej hanya untuk lelaki yang mempunyai rupa paras menarik sahaja sebenarnya tidak tepat kerana penjagaan imej meliputi penampilan diri.

Justeru, kali ini kami kongsikan beberapa tip kepada golongan lelaki di luar sana beberapa perkara yang boleh dipraktikkan untuk menyerlahkan imej peribadi.

1. Pemilihan pakaian bersesuaian

Pakaian perkara penting untuk manusia kerana ia bukan sahaja berfungsi untuk menutup tubuh, malah mampu menyerlahkan imej seseorang lelaki.

Pemilihan pakaian perlu diberi perhatian untuk menonjolkan imej seorang lelaki. Ia perlu sesuai dengan aktiviti dan tempat.

Untuk menonjolkan imej yang menarik, si pemakai perlu bijak bermain dengan warna dan kekemasan. Misalnya, usah memakai pakaian terlalu ketat meskipun anda mempunyai tubuh yang menarik untuk ditonjolkan.

Pastikan anda bijak memilih warna sesuai dengan acara dihadiri contohnya untuk majlis rasmi, pastikan pakaian lebih tampak formal.

2. Rambut

Rambut antara mahkota lelaki yang tidak boleh dinafikan kerana ia perlu kelihatan kemas dan rapi apabila perlu berjumpa dengan orang lain.

Apatah lagi, jika anda ingin ke pejabat atau acara rasmi, kekemasan rambut antara imej yang menjadi perhatian orang lain dan ia mampu menonjolkan nilai diri anda yang sebenar.

Ketika ini di dalam dunia pekerjaan pelbagai gaya rambut semakin ‘diterima.’

3. Bulu di muka

Sekiranya anda mempunyai janggut atau misai. Pastikan ia diurus dengan baik. Ketika ini ada pelbagai produk penjagaan janggut dan misai supaya ia kelihatan kemas serta berkilat.

Jika anda seorang yang tidak mempunyai masa menguruskan misai dan janggut, disarankan untuk dicukur sahaja kerana wajah anda akan kelihatan lebih kemas.

Tidak terkecuali, sebagai lelaki pastikan anda memotong bulu hidung yang panjang kerana keadaan itu boleh menjadikan imej anda terganggu dalam kalangan mereka yang melihatnya.

4. Wangian

Sebagai lelaki tidak dinafikan terdapat mereka yang mempunyai bau tubuh yang begitu kuat terutama jika anda seorang yang kuat berpeluh.

Jika anda sedar anda mempunyai bau badan, pastikan anda sentiasa ‘berkawan baik’ dengan deodoran. Ianya penting kerana boleh menyebabkan orang lain merasa terganggu dengan kehadiran anda yang berbau kurang menyenangkan.

Selain itu, ketika ini banyak pewangi lelaki dijual di pasaran dari harga mampu milik sehingga premium. Pastikan anda memilih bau sesuai dengan tempat dan acara yang ingin dituju.

Sekiranya anda perlu ke lokasi yang mempunyai persekitaran panas dan menyebabkan mudah berpeluh, gunakan pewangi yang mempunyai bau kuat untuk menutupi bau badan anda.

5. Kasut

Meskipun anda memakainya di bahagian kaki, sebenarnya kasut mampu menonjolkan imej anda kepada khalayak. Pastikan anda pilih jenis kasut atau sandal sesuai untuk pakai mengikut tempat dan acara.

Sekiranya anda ingin menghadiri acara santai, pilih sandal yang lebih santai untuk digayakan. Begitu juga untuk acara yang lebih formal atau separa rasmi, pastikan kasut menjadi pilihan.

Selain itu, pastikan kasut dipakai tidak kotor kerana ia boleh mengundang penilaian negatif orang lain kepada diri anda. Apatah lagi, jika anda memakai kasut yang mempunyai warna yang mudah kelihatan kotoran seperti putih.

Selain itu, untuk memastikan kasut tidak berbau, pastikan ia dijemur atau gunakan produk di pasaran bagi menjadikan kasut anda lebih berbau wangi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top