ISU perceraian terutama dalam kalangan artis menjadi topik perbualan umum baru-baru ini.
Keadaan itu dibimbangi akan mempengaruhi masyarakat awam dalam mencari jalan mudah dalam krisis rumah tangga.
Kafe Ahad minggu ini merungkai isu trend perceraian serta solusinya bersama Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROFESOR MADYA DATUK DR MOHD IZHAR ARIFF bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.
Mungkin Dr boleh kongsikan trend perceraian terutama dalam kalangan artis kini?
Untuk kita kenal pasti, punca berlakunya trend perceraian dalam kalangan artis, sukar untuk kita ungkapkan sekadar andaian.
Ia perlu dikaji, perlu dianalisis. Kenapa hal ini berlaku? Kita faham perceraian ini bukan sikap bermain-main dalam kalangan artis. Tetapi sudah pasti ada sebab yang kita tidak tahu dan mungkin kita tidak perlu tahu kerana artis juga adalah manusia.
Mereka mempunyai kehidupan sendiri. Jadi, adakala pasangan itu tidak sesuai untuk mereka dalam suasana keadaan yang mendesak mereka untuk berada dalam kalangan masyarakat.
Jadi, kita kena faham bahawa artis juga manusia. Mereka ada hak untuk memilih yang terbaik untuk diri mereka, keluarga mereka dan juga pasangan mereka.
Hatta orang awam yang bukan artis juga bercerai. Jadi, kita sepatutnya mendoakan yang baik-baik untuk golongan artis sehingga mereka ini mendapat hidayah Allah dan pada masa yang sama mereka mendapat sesuatu yang mendapat keberkatan oleh Allah Azza wa Jalla dalam kehidupan mereka.
Apakah perceraian berkenaan adalah jalan terbaik dan tiada jalan tengah?
Sebenarnya, Islam meletakkan banyak jalan untuk kita menyelesaikan masalah rumah tangga sebelum perceraian itu berlaku.
Pertama, Allah menyarankan kepada umat manusia supaya berbincang dalam semua perkara yang membabitkan rumah tangga. Jangan terburu-buru, jangan gopoh serta perlu berbincang antara kedua pihak.
Kedua, jika tidak dapat juga mengatasi masalah itu, Islam mendidik kita untuk mencari hakam.
Carilah hakam ataupun pendamai daripada pihak isteri ataupun pihak suami untuk menyelesaikan masalah ini.
Jika tidak mampu juga, maka kita tiada jalan lain. Kita akan memaklumkan kepada mahkamah dan mahkamah akan cuba sekali lagi menggunakan hakam di pihak mahkamah pula.
Jika tidak berjaya juga, mungkin perceraian adalah jalan yang terbaik. Jadi, apa-apa pun, kita sebagai orang Islam jangan tergopoh-gapah dalam membuat suatu keputusan khususnya dalam isu perceraian.
Tetapi perlu bijaksana dalam menyelesaikan masalah-masalah rumah tangga supaya rumah tangga itu dapat bertahan lama dan kita mengikut sunnah Nabi SAW.
Apakah trend perceraian artis mampu mempengaruhi perceraian orang awam?
Trend perceraian artis ini mungkin boleh mengakibatkan kepada kesan perceraian dalam kalangan masyarakat biasa.
Ini kerana artis adalah idola dan juga mempunyai pengikut yang ramai. Jadi tidak mustahil apabila trend perceraian itu berlaku dalam kalangan artis dan ia tersebar dan akhirnya membawa kepada kepada viral.
Keadaan ini secara tidak langsung mengakibatkan kepada kesan rumah tangga masyarakat kita pula dan ada masyarakat kita akan menjadikan perceraian artis berkenaan sebagai rujukan kepada mereka.
Golongan ini juga mungkin akan bercerai jika terdapat masalah dan sebagainya. Kita sepatutnya orang Islam tidak menjadikan artis itu idola dalam perkara-perkara seperti ini tetapi kita perlu balik kepada Nabi Muhammad untuk kita rujuk bagaimana Nabi SAW menyelesaikan masalah rumah tangga, Nabi mengajarkan sahabat untuk menyelesaikan rumah tangga dan balik kepada Al-Quran, bagaimana Islam mengajar pemimpin iaitu suami untuk menjadi suami yang baik, suami yang taat kepada Allah, suami yang mampu memimpin isteri ke jalan yang benar dan juga anak-anak.
Trend mendedahkan aib selepas bercerai, komen Datuk?
Trend mendedahkan aib keluarga, aib suami atau isteri khususnya yang bercerai adalah satu trend tidak baik bahkan diharamkan dalam Islam.
Tutup aib keluarga, tutup aib pasangan kita. Kalau sudah nekad untuk cerai, maka teruskan dengan perceraian tersebut.
Tidak perlu diaibkan antara satu sama lain. Jangan kita buat sesuatu itu kerana ingin ikut trend, ingin ikut artis, ingin ikut siapa-siapa saja kerana budaya membuka aib ini adalah budaya yang tidak sihat.
Bahkan dilarang oleh Nabi kita Muhammad SAW. Justeru, nasihat saya kepada masyarakat, jangan terikut-ikut benda yang tidak baik.
Ya, saya tahu ramai yang sayang idola, artis mereka tetapi ambil yang baik-baik.
Jangan ambil yang buruk-buruk, yang tidak elok, yang tidak sesuai dengan adat kita, tidak sesuai dengan agama kita, tidak sesuai dengan syarat kita, jangan diikuti tetapi kita balik kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Boleh Datuk komen secara umum trend ini?
Secara umumnya, saya melihat bahawa situasi ataupun penyebaran mengenai perceraian dalam kalangan artis, satu perkara yang cukup membimbangkan saya sebagai seorang ahli akademik dan juga pensyarah di universiti.
Saya melihat budaya buka aib, budaya menceritakan isu-isu rumah tangga dalam kalangan artis tidak baik. Saya faham artis-artis tidak suka benda ini dilakukan.
Ya, artis juga manusia. Mereka ada hak untuk meneruskan perkahwinan. Mereka ada hak untuk berpisah.
Mereka juga ada hak untuk memilih pasangan yang terbaik. Memilih keluarga yang terbaik. Jadi oleh sebab itu saya nasihatkan kepada semua masyarakat kita harap menghormati pilihan yang dibuat oleh idola mereka itu ataupun artis-artis mereka itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




