Usaha lindungi kanak-kanak bermula di rumah – Raja Muda Perlis

Usaha lindungi kanak-kanak bermula di rumah – Raja Muda Perlis

ARAU: Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran selamat, bebas penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha melindungi kanak-kanak perlu bermula di rumah, diperkukuh di sekolah serta diperluas melalui penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, baginda menyokong usaha memperkasa Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai rakan strategik di peringkat akar umbi khususnya dalam membantu mengesan risiko lebih awal, menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda turut menyeru ibu bapa, penjaga dan masyarakat supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak, sebaliknya segera mendapatkan bantuan dan menyalurkan maklumat melalui saluran yang sewajarnya, termasuk talian kasih 15999.

“Marilah kita menjadikan sambutan ini sebagai wadah untuk memperkukuh komitmen bersama dalam membina persekitaran lebih selamat, penyayang dan menyokong perkembangan setiap kanak-kanak.

“Usaha berterusan kerajaan, agensi berkaitan, keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap anak di Perlis mendapat peluang yang adil untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi terbaik mereka,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian sambutan hari kanak-kanak peringkat negeri ini di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis di sini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Ku Chik Ku Mat Esa dan Pengerusi CHILD, Khalimahtul Idereena Lim.

Majlis anjuran JKM Perlis dengan kerjasama Arau Child, UiTM Perlis serta pelbagai rakan strategik lain itu menghimpunkan hampir 4,000 kanak-kanak, ibu bapa dan pendidik dalam usaha meningkatkan kesedaran, memperkasa potensi serta meraikan kesejahteraan golongan muda.

Pelbagai aktiviti pendidikan, kebudayaan dan hiburan turut diadakan bagi memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta.

Baginda bertitah, penganjuran sambutan tersebut secara tidak langsung memperkukuh kesedaran masyarakat bahawa perlindungan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan komitmen bersama bagi memastikan setiap anak membesar dalam suasana selamat, sejahtera dan penuh kasih sayang.-UTUSAN

Scroll to Top