Usaha McDonald's lahir penerus ibadah korban

Usaha McDonald's lahir penerus ibadah korban

suliati@hmetro.com.my

Bagi memupuk pembabitan aktif dan mencetus minat anak muda melaksanakan ibadah korban serta makna di sebaliknya, McDonald’s Malaysia dan Universiti Selangor (UNISEL) berkolaborasi pada program korban tahunan syarikat itu sempena Aidiladha, baru-baru ini.

Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, program ini bukan sahaja meneruskan komitmennya untuk melunaskan ibadah korban, malah memperluas pendekatan dengan menggalakkan pembabitan aktif generasi muda.

Lebih bermakna, pembabitan seramai hampir 150 pelajar UNISEL serta kakitangan McDonald’s dalam program ini memberi berpeluang kepada mereka terbabit secara langsung dalam setiap fasa ibadah korban bermula dari penyembelihan hingga pengagihan daging.

Selain itu, program yang cukup bermakna ini juga menjadi platform untuk mendekatkan mereka khususnya pelajar dengan erti sebenar pengorbanan, rasa tanggungjawab sosial dan perkongsian rezeki yang juga adalah elemen penting dalam sambutan Aidiladha yang sebenar.

Kerjasama ini turut meneruskan hubungan strategik antara McDonald’s Malaysia dan UNISEL yang terjalin sejak Ramadan lalu menerusi program Kongsi Rezeki Ramadan, yang menyantuni pelajar memerlukan dengan sumbangan kotak rezeki, duit raya dan tajaan majlis berbuka puasa.

Memasuki tahun kelima penganjuran program korban yang mula dilaksanakan sejak 2021, selain di Unisel tahun ini sebanyak 18 ekor lembu disumbangkan McDonald’s Malaysia di pelbagai lokasi seluruh negara sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat menyantuni komuniti pelbagai latar, khususnya umat Islam yang memerlukan.

McDonald’s Malaysia juga sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti @ McDonald’s.

Dianggarkan 10,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun antaranya sumbangan moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, meraikan hari jadi anak-anak yatim pada bulan kanak-kanak, meraikan warga emas di rumah kebajikan sertai melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi zakat negeri.

Pengalaman berharga buat pelajar

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam Unisel, Nur Elyana Balqis Mohd Sofi, 22, menyifatkan penyertaannya dalam program ini adalah peluang yang cukup bernilai buatnya.

Katanya, dia sangat bersyukur kerana dapat menyertai program yang cukup bermakna itu kerana tidak semua pelajar berpeluang untuk bersama-sama melaksanakan ibadah korban itu.

“Sebelum ini, saya ada juga menyertai program seumpama ini di luar kampus. Namun, apabila ia dilaksanakan di kampus, ia sangat berbeza, lebih dekat dengan kami sebagai pelajar dan istimewa kerana ia membabitkan rakan-rakan di universiti.

“Banyak perkara baharu yang kami pelajari, berbanding menyertai ibadah korban di luar yang kebanyakan diketuai oleh golongan lebih tua,” katanya.

Nur Elyana berkata program itu juga memberi impak positif dan mengubah persepsinya terhadap Aidiladha serta ibadah korban itu sendiri.

Baginya, program ini bukan sekadar aktiviti sempena Aidiladha, tetapi satu pengalaman yang membuka mata dan menyuntik kefahaman mendalam mengenai tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Selama ini kita hanya melihat korban adalah menyembelih lembu atau kambing pada Aidiladha, tetapi kita tidak tahu apakah makna pengagihan daging korban itu.

“Apabila menyertai program sebegini, saya rasa lebih jelas mengenai apa yang kita sebagai orang Islam perlu tahu dan buat apabila tiba Aidiladha,”katanya.

Bagi Nur Elyana, ibadah korban ini juga mengenai berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Walaupun lembu itu bukan saya yang korbankan dan hanya sebagai pengantara, tetapi ia memberikan rasa syukur apabila melihat orang yang mendapat daging ini gembira.

“Ini kerana, tidak semua orang ada kesempatan merasa daging korban,” katanya yang turut merasa penyertaannya dalam program ini sebagai satu bentuk ilmu praktikal yang sangat berguna.

Sebagai pelajar dan generasi muda, Nur Elyana berharap McDonald’s Malaysia akan terus melaksanakan pelbagai program seumpama ini pada masa akan datang, bukan sahaja ibadah korban, tetapi juga program lain yang boleh disertai oleh pelajar universiti.

Pengalaman bermakna, menyemai rasa keprihatinan

Bagi Muhammad Wafi Dzulkifli, 22, program ini membolehkannya memperluas pemahaman mengenai korban, malah memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan belajar serta mengambil peranan dalam peristiwa yang bermakna ini.

“Sebelum ini, saya hanya jadi pemerhati tetapi kali ini saya terbabit dalam semua proses korban. Dengan pengalaman yang diperoleh ini, ia dapat menambah pengetahuan dan kemahiran saya.

“Jadi, nanti apabila orang bertanya sama ada saya boleh membantu dalam program korban, saya boleh jawab dengan yakin, iya,” katanya.

Muhammad Wafi berkata pelaksanaan ibadah korban di dalam kampus itu juga nyata memberi impak positif kepada pelajar.

“Bagi saya, aktiviti seumpama ini perlu dipromosikan dengan meluas supaya lebih ramai golongan muda berpeluang untuk turut serta sekali gus melahirkan pelapis dalam pengurusan program seperti ini di masa hadapan.

“Oleh itu, saya berharap supaya program korban ini dapat diteruskan di Unisel setiap tahun,” katanya yang mendefinisikan korban bukan sahaja merujuk kepada benda yang disayangi, tetapi juga membabitkan pengorbanan masa khususnya bagi pelajar sepertinya.

Sementara itu, Muhammad Nur Hakim Sabarudin, 31, berkata ibadah korban bukan semata-mata penyembelihan haiwan, tapi lebih kepada menyemai rasa prihatin dan kesanggupan untuk memberi, terutama kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, program ini juga adalah inisiatif terbaik untuk memupuk minat anak muda sekali gus mengekalkan semangat ibadah korban dalam kalangan generasi muda.

“Apa yang saya lihat, pembabitan anak muda dalam program korban ini sangat kurang. Ramai yang hadir hanya sekadar memeriahkan suasana.

“Namun, program ini berbeza kerana kesemua proses pelaksanaan memerlukan pembabitan pelajar sepenuhnya. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi program ini sangat berguna di masa hadapan.

“Bagi saya sendiri, program ini dapat mengasah kemahiran dan merasakan sendiri bagaimana proses melaksanakan ibadah ini, yang sebenarnya tidaklah sesukar yang disangkakan,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top