Usaha perkemas struktur liga tunjuk hasil positif selepas 10 tahun MFL

Usaha perkemas struktur liga tunjuk hasil positif selepas 10 tahun MFL

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terus komited untuk memperkasakan ekosistem bola sepak negara khususnya menerusi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang diuruskan badan pengelola itu sejak satu dekad lalu.

Selepas 10 tahun MFL beroperasi dengan nama asal dikenali Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), penganjur liga itu menunjukkan prestasi cukup cemerlang dengan pelbagai perubahan sudah dilaksanakan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, usaha memperkemas struktur liga kini menunjukkan hasil positif selepas 10 tahun, termasuk kewujudan kalendar bola sepak yang lebih mesra dan kompetitif sejajar dengan panduan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta disesuaikan dengan kehendak domestik.

“Alhamdulillah, selepas 10 tahun, kita mula nampak satu kalendar bola sepak yang lebih ‘friendly’ dan kompetitif.

“Kita telah mula memperkukuh sistem pelesenan kelab,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro X Liga Malaysia 2025/2026 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, barisan ahli lembaga pengarah MFL serta pengurusan tertinggi Astro Arena dan bekas pemain kebangsaan.

Namun, beliau tidak menafikan proses transformasi ini turut membawa kesan kepada beberapa pasukan tradisi yang gagal memenuhi kriteria pelesenan, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat bersaing di peringkat tertinggi.

“Mungkin peminat bola sepak tak boleh menerima sebagai contoh, kita kehilangan pasukan Sri Pahang, Kedah, Perak dan sebelum ini kita pernah hilang Perlis, Kelantan dan Sarawak.

“Namun begitulah perkara yang telah kita laksanakan sehinggalah 10 tahun kewujudan FMLLP dan sekarang MFL adalah untuk memastikan perjalanan liga itu berjalan dengan baik,” katanya.

Ujarnya lagi, sokongan daripada pihak ketiga seperti penaja, penyiar rasmi serta pihak industri amat penting dalam menjayakan perjalanan Liga Malaysia.

“Kita perlukan penaja, kita perlukan penyiar rasmi seperti Astro. Kita perlukan aura positif dalam menguruskan dan mengendalikan Liga Malaysia agar ia lebih menarik, berdaya saing dan terus mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top