hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah bagi menghalang transaksi membabitkan wang berjumlah AS$115,320,661.63 (kira-kira RM486.4 juta) yang disimpan dalam tiga akaun perbankan di Switzerland atas nama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Perintah menghalang (restrained order) itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor, mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) pada prosiding semalam.
Permohonan berkenaan difailkan oleh SPRM pada 7 Oktober lalu, susulan maklumat yang diterima oleh agensi itu pada 2011, bahawa Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dipercayai menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun perbankan miliknya.
Menerusi perintah berkenaan, SPRM berjaya menghalang transaksi berjumlah AS$87,148,732.89 (RM367,938,662.38) dan AS$12,777,759.74 (RM53,947,362.60) dalam dua akaun bank di JP Morgan, serta AS$15,394,169 (RM64,993,773.08) dalam akaun bank UBS Switzerland.
Menurut kenyataan SPRM, perintah ini adalah langkah lanjut dalam usaha pemulihan aset 1MDB di luar negara dan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Malaysia serta pihak berkuasa antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



