Usaha salur bantuan paling mencabar

Usaha salur bantuan paling mencabar

asyikin.mat@hmetro.com.my

“SAYA tergamam dan hilang kata-kata sebaik menjejakkan kaki di lokasi banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Sumatera, Indonesia.

“Tragedi ini begitu dahsyat sehingga menyebabkan kemusnahan sangat besar,” kata Siti Nor Fazilah Mohd Johari.

Siti Nor Fazilah, 29, ialah seorang daripada lapan sukarelawan Pertubuhan Antarabangsa Al-Ain Malaysia yang menyertai Misi Darurat Banjir Sumatera, baru-baru ini.

Bantuan dihulurkan merangkumi wang, lampu solar, makanan, air mineral, roti, kit kanak-kanak, al-Quran dan sistem siar raya.

Menurutnya, apa yang disaksikan di media massa ataupun media sosial tidak sama dengan realiti di depan mata.

“Tragedi ini bukan sahaja memusnahkan kediaman selain rumah dipenuhi lumpur setebal hampir dua meter, malah, ia mengubah landskap muka bumi kawasan terbabit.

“Perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya apabila melihat rumah dipenuhi lumpur tebal ialah, ‘bagaimana hendak bersihkan kediaman ini’,” katanya.

Menurut Siti Nor Fazilah, ketika sukarelawan tiba di Sumatera, bencana sudah berlalu 21 hari tetapi ramai penduduk buntu kerana sukar untuk membersihkan rumah yang ‘ditenggelami’ lumpur tebal.

“Ada yang sudah bersihkan rumah dengan menggunakan cangkul namun ia terbatas akibat kudrat.

“Jentera pula tidak boleh digunakan kerana jalan tertutup akibat timbunan kayu balak dan pelbagai lagi,” katanya.

Jelas Siti Nor Fazilah, misi bantuan itu adalah yang paling mencabar berbanding misi lain kerana banyak jalan terputus selepas ditenggelami lumpur selain akibat tanah runtuh.

“Disebabkan keadaan ini ada beberapa kawasan yang tidak dapat diberikan bantuan.

“Sebanyak 18 daripada 23 negeri di Sumatera dilanda banjir besar dengan Aceh Temiang adalah kawasan yang paling teruk terjejas.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh menghantar bantuan ke kawasan berkenaan kerana jambatan runtuh.

“Ada sungai asal yang lenyap selain terbentuk sungai baharu sehingga menghancurkan sebuah madrasah,” katanya. Dalam pada itu, Siti Nor Fazilah berkongsi luahan hati penduduk yang menyentuh hatinya dan sukarelawan lain.

“Ada penduduk memberitahu, sekiranya boleh, mereka mahu padam memori bencana terbabit. Ia adalah ‘mimpi buruk’ yang akan kekal dalam ingatan.

“Seorang ibu meluahkan kerinduan kehidupan sebelum tragedi yang dinikmati bersama keluarga, termasuk rutin menghantar anak ke sekolah. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya.

Menurut Siti Nor Fazilah, seorang warga emas pula menzahirkan ucapan terima kasih kerana kedatangan sukarelawan pertubuhan itu menjadi penguat semangat mereka untuk meneruskan kehidupan yang sukar.

“Kata warga emas itu lagi, penduduk tahu rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri apabila mereka dalam kesusahan dan pasti akan menghulurkan bantuan.

“Penduduk turut berpendapat, kesan banjir besar dan tanah runtuh itu sama ada sama atau lebih teruk daripada tsunami,” katanya.

Berkongsi lanjut, Siti Nor Fazilah berkata, keperluan mendesak mangsa bencana ialah air bersih kerana sumber air bersih musnah.

“Permintaan utama mereka apabila kami tiba di pusat perlindungan bencana ialah air mineral.

“Mangsa di pusat berkenaan ramai dan bekalan air mineral tidak mencukupi walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain turut memberikan bantuan berkenaan.

“Ada yang minta air mineral lebihan minuman sukarelawan kerana terlalu dahaga,” katanya.

Siti Nor Fazilah berkata, misi itu memberikan pengajaran yang sangat bermakna kepada dirinya dan rakan sukarelawan lain.

“Harta yang kita miliki di dunia ini hanyalah pinjaman sementara dan Allah SWT boleh mengambilnya pada bila-bila masa dengan cara yang tidak dijangka.

“Justeru, kita perlu sentiasa bersyukur, bersabar dan memperkukuh keimanan ketika diuji,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top