Usaha Sunway ambil alih IJM gagal

Usaha Sunway ambil alih IJM gagal

PETALING JAYA: Pemegang saham IJM Corporation Bhd. menolak tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh Sunway Berhad (Sunway) ke atas semua saham biasanya selepas tempoh penerimaan ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dalam makluman di Bursa Malaysia mengesahkan perkara itu berikutan kegagalan memenuhi syarat penerimaan.

Menurutnya, Sunway tidak menerima penerimaan sah yang mencukupi untuk membolehkan pegangan melebihi 50 peratus saham mengundi dalam IJM.

“Sehingga pukul 5 petang pada tarikh tutup, Sunway menerima penerimaan sah yang menyebabkan pegangan sebanyak 1.17 bilion saham IJM atau 33.43 peratus daripada jumlah saham mengundi.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak memenuhi syarat penerimaan yang ditetapkan iaitu melebihi 50 peratus pegangan saham mengundi,” katanya.

Sehubungan itu, tawaran berkenaan luput dan tidak lagi boleh diterima, manakala semua penerimaan akan dipulangkan kepada pemegang saham dan pihak penawar tidak lagi terikat dengan sebarang penerimaan terdahulu.

Dalam kenyataan berasingan, Sunway merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, rakan strategik dan pelabur yang menilai tawaran tersebut serta terus menaruh keyakinan terhadap syarikat itu.

“Sunway menghargai peluang membentangkan cadangan ini secara telus kepada pasaran serta semua pihak yang terlibat secara konstruktif sepanjang proses berkenaan.

“Tahap minat dan perbincangan yang ditunjukkan mencerminkan kepentingan transaksi ini serta kekuatan pasaran modal Malaysia,” katanya.

Tambahnya, dalam mesyuarat agung, pemegang saham Sunway menyokong cadangan itu dengan 99.27 peratus undian memihak, mencerminkan keyakinan terhadap rasional strategik dan komersial tawaran berkenaan.

“Cadangan ini sejak awal dirangka bagi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.

“Sunway menghormati keputusan pemegang saham IJM serta hasil keseluruhan proses ini,” katanya.

Syarikat itu menegaskan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi perniagaan dan menjana nilai merentas segmen bersepadu, selain meneroka peluang baharu secara berdisiplin.

“Sunway kekal komited dalam mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, komuniti dan negara,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top