Usaha tingkat akses bantuan guaman diperkukuh – Azalina

Usaha tingkat akses bantuan guaman diperkukuh – Azalina

Melaka: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Multimedia (MMU) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh usaha meningkatkan akses bantuan guaman serta kadar celik undang-undang dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerjasama tersebut bertujuan antaranya memperkukuh reformasi perundangan dan institusi melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan, latihan dan amalan terbaik di samping meningkatkan kompetensi pengamal undang-undang serta pihak berkepentingan berkaitan.

“Akses kepada keadilan merupakan tunjang utama bagi mana-mana masyarakat yang berteraskan kedaulatan undang-undang. Namun, masih terdapat pelbagai halangan sama ada dari segi kos, kesedaran mahupun kebolehcapaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permeteraian MoU tersebut serta pelancaran Klinik Bantuan Guaman MMU (MULA Clinic) di Dewan Persada Permata Dunia MMU Kampus Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MMU Prof. Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Ketua Pengarah BHEUU JPM Datuk Zamri Misman.

Mengenai MULA Clinic, Azalina berkata, ia amat penting dalam memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI, katanya, pelbagai usaha telah diperkukuh bagi merapatkan jurang termasuk menerusi inisiatif Justice on Wheels kendalian Jabatan Bantuan Guaman (JBG), yang menawarkan perkhidmatan guaman terus kepada masyarakat khususnya golongan di kawasan luar bandar dan komuniti terpencil.

Di samping itu Azalina berkata, Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 pula merupakan satu reformasi besar bertujuan menyelaras mekanisme bantuan guaman, memperluas akses kepada bantuan serta memperkenalkan sistem Pembela Awam bagi membantu golongan memerlukan.

“Ini bukan sekadar langkah dasar tetapi mencerminkan satu prinsip jelas iaitu keadilan bukan sahaja mesti wujud, tetapi mesti dapat diakses dan dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat juga perlu bersedia menghadapi perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi kehidupan seharian termasuk bidang pekerjaan dan perundangan.

“Melalui kerjasama ini, kita harap akan lahir pendekatan baharu dan inovatif dalam meningkatkan kesedaran undang-undang termasuk penggunaan platform digital, kandungan kreatif dan inisiatif capaian berteraskan teknologi.

“Ini kerana jika kita belajar undang-undang pada hari ini, kita tidak boleh lari daripada AI malah perlu menerima bahawa AI mungkin akan mengambil alih sebahagian daripada kerja yang dibuat oleh manusia memandangkan teknologi ini begitu pantas berkembang serta melibatkan pelbagai isu termasuk keselamatan, komunikasi harian dan pekerjaan,” katanya.

Justeru, katanya, celik undang-undang amat penting bagi membentuk negara yang adil dan progresif.

“Apabila rakyat memahami hak dan tanggungjawab mereka, mereka akan lebih berupaya untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top