shahrizan_salian@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan sedang menjalankan semakan terhadap empat lagi jenis subsidi sebagai kesinambungan kepada penstrukturan semula beberapa subsidi secara berperingkat, dalam usaha meningkatkan kecekapan fiskal sambil mengurangkan tekanan inflasi, demikian menurut penganalisis.
Berdasarkan laporan disediakan oleh CIMB Treasury and Markets Research, semakan yang sedang dijalankan ketika ini membabitkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak (RM2.15 seliter berbanding harga pasaran RM2.93 seliter di Semenanjung Malaysia), minyak masak (penjimatan sekitar RM2 bilion disebabkan ketirisan dan akses kepada bukan warganegara), gas petroleum cecair atau LPG (penjimatan antara RM1 bilion hingga RM3 bilion) dan gula.
Ia berkata, empat jenis barangan itu akan menyusuli penstrukturan semula yang membabitkan subsidi ayam pada November 2023, diesel pada Jun 2025, telur pada Ogos 2025 dan RON95 bulan lalu.
“Reformasi ini dijangka menjana penjimatan fiskal yang boleh disalurkan kepada perbelanjaan sosial termasuk program pemindahan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah,” kata firma penyelidikan pasaran itu dalam laporan yang disediakan oleh Ketua Penyelidik, Michelle Chia dan Ahli Ekonomi Kanan, Azri Azhar.
Maklumat itu diperoleh daripada penerangan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berhubung strategi pentadbiran MADANI dalam mengimbangi konsolidasi fiskal dengan pertumbuhan melalui subsidi bersasar, perancangan cukai hijau, dan mobilisasi modal melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
CIMB Treasury and Markets Research berkata, berdasarkan maklumat yang dikongsikan itu, hasil awal menunjukkan perkembangan positif apabila kadar kemiskinan tegar menurun daripada 0.2 peratus pada 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024, dengan hanya 8,000 isi rumah masih berada dalam kategori berkenaan, manakala kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus, terendah sejak pandemik.
Ia berkata, ringgit telah mengukuh kepada RM4.23 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu kenaikan kira-kira 5.4 peratus setakat tahun ini, manakala pelaburan yang diluluskan mencecah RM190.3 bilion pada separuh pertama 2025 dan penciptaan sebanyak 65,138 pekerjaan.
“Kerajaan MADANI terus komited terhadap disiplin fiskal di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), dengan sasaran pengurangan defisit 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026 dan di bawah 3.0 peratus menjelang 2030,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2026, perbelanjaan awam dijangka mencecah RM470 bilion tahun depan, satu pendekatan sedikit mengembang tetapi berdisiplin, dengan kebergantungan lebih besar kepada pembiayaan GLIC dan kerjasama awam swasta (PPP) untuk infrastruktur.
Perbelanjaan mengurus kekal sebanyak 96 peratus telah diperuntukkan awal, sebahagian besarnya untuk gaji, pencen, dan pembayaran hutang, mendorong kepada perancangan peralihan ke model pencen berasaskan caruman.
Usaha mempelbagaikan hasil sedang berjalan memandangkan sumbangan PETRONAS berkurang daripada RM32 bilion pada 2025 kepada RM20 bilion pada 2026, dan diimbangi oleh peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang terkini, e-Invois, dan pelaksanaan berfasa cukai karbon menjelang akhir 2026.
Dari cukai, tiada rancangan untuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST 2.0) yang walaupun diiktiraf sebagai cekap, ia dianggap regresif kerana memberi kesan kepada pengguna akhir.
Cukai karbon dijangka dilaksanakan pada akhir 2026, pada peringkat awal meliputi sektor besi, keluli, dan tenaga.
Skop dan kadar akhir masih belum ditentukan, namun langkah ini direka sebagai alat perubahan tingkah laku, mirip kepada cukai gula, untuk menggalakkan pelaburan rendah karbon dan bukannya sebagai sumber hasil utama.
Hasil berkaitan petroleum dijangka menurun daripada 16.9 peratus tahun ini kepada 12.5 peratus tahun depan daripada jumlah hasil negara, dan ini akan diimbangi oleh kutipan SST yang lebih kukuh sebanyak RM59.6 bilion serta penguatkuasaan e-Invois bagi mengurangkan ketirisan.
Dalam pada itu, tinjauan pelabur yang dibuat oleh CIMB Treasury and Markets Research, membabitkan eksekutif kanan daripada institusi, korporat, dan pelanggan borong, menunjukkan sentimen yang secara umum positif terhadap prospek Malaysia pada 2026.
“Sekitar 67.6 peratus responden optimis terhadap ekonomi dan persekitaran perniagaan, manakala 53.1 peratus percaya Belanjawan 2026 telah memperbaiki prospek mereka.
“Langkah kebajikan dan subsidi bersasar dilihat sebagai keutamaan dasar yang paling memberi impak (41.9 peratus), diikuti oleh perbelanjaan modal dan infrastruktur (38.7 peratus), yang boleh meningkatkan lagi sentimen, terutamanya apabila 54.8 peratus masih bersikap neutral terhadap pengembangan pelaburan domestik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




