Dalam landskap pendidikan tinggi yang kian mencabar, peranan ibu bapa bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik anak-anak, malah perlu diperluaskan kepada pembentukan sahsiah dan keterbukaan terhadap laluan kerjaya bukan konvensional, khususnya bidang keusahawanan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelbagai inisiatif sudah memperkukuh ekosistem keusahawanan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) seiring dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang menyasarkan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030.
Namun keberhasilan dasar ini sangat bergantung kepada sejauh mana penerimaan dan kesediaan ibu bapa untuk menyokong minat keusahawanan anak-anak mereka.
Masih wujud persepsi lapok dalam kalangan segelintir ibu bapa bahawa keusahawanan adalah ‘plan B’ atau sekadar jalan keluar bagi anak-anak yang kurang cemerlang dalam akademik.
Persepsi ini bukan sahaja mengekang potensi sebenar pelajar yang bercita-cita menjadi usahawan, tetapi turut bertentangan dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi pencipta kerja dan bukan sekadar pencari kerja.
Hakikatnya, keusahawanan memerlukan kemahiran tinggi, daya tahan mental, kreativiti dan kepimpinan, kualiti yang setanding dengan profesion profesional lain.
IPTA dan IPTS hari ini menyediakan pelbagai program, inkubator perniagaan, geran permulaan serta sokongan mentor bagi menyemai bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu yang diterbitkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menjadi rujukan utama dalam usaha mengarusperdanakan keusahawanan dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Panduan ini menyarankan pembentukan budaya keusahawanan secara holistik melalui kurikulum, kokurikulum dan ekosistem kampus.
Antara fokus utamanya ialah pembinaan entrepreneurial mindset dan entrepreneurial culture dalam kalangan pelajar serta pemegang taruh, termasuk ibu bapa.
Justeru, dalam ekosistem yang dicadangkan JPT, keluarga dianggap antara pemangkin utama yang dapat mempengaruhi minat dan keberanian anak-anak menceburi keusahawanan.
DKN 2030 menyasarkan penciptaan satu juta pekerjaan baharu dalam sektor keusahawanan dan memperkasakan penyertaan belia.
Sementara itu, Dasar Pendidikan Tinggi Negara serta Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu menekankan elemen pembangunan pelajar secara menyeluruh yang merangkumi keusahawanan sebagai teras.
Namun, dasar sehebat mana pun tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada rumah.
Ibu bapa perlu keluar dari kerangka pemikiran tradisional yang terlalu mementingkan ‘pekerjaan tetap’ dan mula memahami bahawa masa depan anak mereka mungkin lebih cemerlang sebagai pencipta peluang, bukan hanya pencari kerja.
Ibu bapa perlu diberi pendedahan dan pemahaman yang lebih jelas berkaitan peluang dan cabaran dalam dunia keusahawanan masa kini.
Program kerjasama antara IPT dan komuniti ibu bapa boleh dijadikan platform dialog dua hala supaya peranan membentuk usahawan muda bukan hanya digalas oleh institusi pendidikan, tetapi turut didokong oleh institusi keluarga.
Kesediaan ibu bapa untuk memberi ruang, mempercayai kemampuan anak serta tidak terlalu mementingkan laluan kerjaya yang ‘selamat’ semata-mata akan membuka jalan kepada lebih ramai graduan yang berani mengambil risiko membina perniagaan sendiri.
Masa depan keusahawanan negara tidak hanya terletak pada dasar dan program kerajaan semata-mata, tetapi juga pada minda terbuka dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.
Jika mahasiswa IPTA dan IPTS diberi galakan untuk mengejar impian keusahawanan mereka sejak dari bangku pengajian, maka cita-cita Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan menjelang 2030 bukan lagi satu angan-angan.
Penulis Pengarah Pusat Teknousahawan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
© New Straits Times Press (M) Bhd