Usahawan kopi senyap

Usahawan kopi senyap

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Zahirnya, Muhammad Farid Muhammad Mustafa@Che Pa nampak normal namun dia sebenarnya sudah hilang keupayaan mendengar sejak berumur 10 tahun selepas terbabit kemalangan motosikal.

Sejak itu, Muhammad Farid, 38, bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan mendengar namun status sebagai orang kurang upaya (OKU) bukan halangan untuknya melangkah ke hadapan.

Buktinya, bapa seorang anak itu memiliki Diploma Teknologi Maklumat lulusan Kolej Islam Antarabangsa di Gombak, Selangor berpengalaman sebagai pengurus farmasi dan pembantu di kafe.

Bermula Februari lalu, Muhammad Farid mencari pengalaman baru dengan berniaga sepenuh masa dengan menjual kopi, makanan dan manisan di sebuah tapak niaga dekat Taman Melawati di sini.

“Saya pernah jadi pengurus farmasi selama tujuh tahun bermula 2012 sehingga 2018 namun berhenti selepas ada masalah.

“Kemudian, saya pernah kerja sebagai pembantu pengurus dan barista di restoran milik isteri sehingga ia ditutup pada 2023 dan selepas itu kami bersama usahakan perkhidmatan katering.

“Perkhidmatan katering itu masih ada cuma sejak dua bulan lalu, saya sudah mula buka gerai dengan nama Silent Brew yang menjual kopi, mi kari, soto, kek dan akan datang churos pisang,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Muhammad Farid, buat masa ini, dia ada seorang pekerja yang membantunya daripada awal waktu operasi iaitu 1 tengah hari hingga 8 malam.

Muhammad Farid berkata, sambutan diterima agak baik namun dia cuba mengetengahkan lagi perniagaan di laman sosial seperti TikTok dan Threads.

“Sebelum ini saya banyak kongsi di Threads tapi sudah mula muat naik video di TikTok untuk promosikan lagi gerai.

“Alhamdulillah, ramai pengikut di laman sosial beri sokongan apabila tahu saya OKU pendengaran sehingga beri sumbangan hingga saya mampu beli generator.

“Pelanggan di gerai pun okay cuma ada segelintir tak sedar saya OKU kerana tak nampak alat bantuan mendengar dipakai. Saya pun sukar nak dengar dengan jelas bila pertama kali jumpa seseorang kerana tak biasa tapi itulah cabarannya,” katanya.

Berkongsi hala tujunya, Muhammad Farid berkata, dia akan berusaha sehabis baik untuk memastikan perniagaannya bertahan, sekali gus membuktikan OKU sepertinya mampu berjaya sebagai usahawan.

“Banyak yang saya sudah tempuh selama jadi OKU malah di sekolah dulu pun sudah biasa kena ejek dan ada juga yang buli dengan cabut alat bantuan mendengar dipakai.

“Saya tahu akan datang lebih banyak cabaran akan dilalui sebagai usahawan namun nak teruskan saja.

“Andai kata ada rezeki, saya nak kembangkan perniagaan dengan buka kedai kopi yang memfokuskan kopi gred premium jenis kinantan dan gaya santai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top