Kuala Lumpur : Golongan usahawan perlu berani menyahut cabaran mengetengahkan produk masing-masing disamping mengintai peluang francais dan kolaborasi.
Perkara itu disuarakan oleh Pengasas Nisabakri Gourmet, Chef Puan Sri Nisa Bakri yang menaruh keyakinan usaha sama di Malaysia boleh berkembang pesat selain menawarkan laluan pantas untuk perniagaan melalui jenama sedia ada.
Katanya, usahawan khususnya wanita boleh meneroka pakej pra-francais yang sedia ada atau menyertai pameran bagi rangkaian perniagaan global.
“Kolaborasi bersama koperasi dan agensi berkaitan membolehkan akses kepada pemasaran bersama dan sokongan kewangan.
“Menerusi kerjasama usahawan bukan sahaja berpeluang memasarkan produk sendiri malah berdepan perniagaan rendah risiko, sokongan pemasaran selain mempunyai rangkaian yang lebih luas,” katanya kepada media selepas pelancaran pada majlis memperkenalkan Kabsa Sherpherd Pie buatannya sempena majlis sambutan ulang tahun ke-20 O’Briens Café di Menara OCBC, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif O’Briens, Brian Pua; Duta Ireland ke Malaysia, Orla Tunney; Ketua Pegawai Operasi OCBC Bank, Chong Lee Ying serta penyanyi Winnie K dan pelari menara profesional negara, Soh Wei Ching.
Majlis turut menyaksikan perjanjian kerjasama ditandatangani O’Brien’s dengan duta jenama sedia ada, Wai Ching dan pada masa sama memperkenalkan duta baharu, Winnie K, yang melambangkan gaya hidup sihat dan seimbang selari dengan nilai jenama terkenal itu.
Mengenai Kabsa Sherpherd Pie pula, Chef Nisa menceritakan bagaimana inspirasi daripada keturunan Arab digabungkan dengan hidangan klasik Barat sehingga berjaya menembusi rangkaian kafe terkenal seperti O’Briens.
Tambahnya, kerjasama strategik dengan O’Briens bagi memperkenalkan Kabsa Shepherd Pie di 27 cawangan O’Briens di seluruh Malaysia.
“Kolaborasi ini sekali gus memperluas penawaran hidangan premium berinspirasikan sajian.
“Dengan kerjasama ini, pelanggan O’Briens boleh menikmati pai yang diperbuat daripada bahan berkualiti dan rasa yang dijaga teliti selari dengan konsep O’Briens yang mahukan setiap pelanggan rasa selesa dan berpuas hati bila berkunjung ke setiap cawangannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




