Usahawan tidak formal bertambah tahun ini

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Usahawan sektor tidak formal dijangka bertambah pada tahun ini berikutan kesan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pada tahun lalu, seramai 248 usahawan tidak formal telah dibantu menerusi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dengan peruntukan sebanyak RM1.18 juta.

Katanya penambahan itu susulan ramai yang kehilangan kerja dan mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan tidak formal seperti peniaga kecil dan penjaja.

“Usahawan tidak formal yang akan mendapat pembiayaan SPIN pada tahun ini, dijangka meningkat.

“Pada tahun ini, SPIN memberi peruntukan RM50 juta bagi membantu usahawan tidak formal.

“Kita berharap dengan pembiayaan di bawah SPIN, akan membantu lebih ramai usahawan yang baharu hendak memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Negeri Johor oleh agensi-agensi di bawah MEDAC di Plaza Angsana di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata sebanyak RM9 juta bantuan pembiayaan disalurkan kepada usahawan koperasi di Johor.

Katanya kementerian berharap usahawan mampu terus berdaya saing dalam setiap bidang yang diceburi menerusi pembiayaan yang diberikan seterusnya menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk meneroka perspektif lebih luas.

“Inisiatif yang disalurkan membuktikan kesediaan MEDAC yang komited membantu usahawan agar lebih berdaya saing dalam situasi pandemik ketika ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd