Usain Bolt intai pentas Olimpik LA28

Usain Bolt intai pentas Olimpik LA28

Dubai: Legenda pecut Jamaica, Usain Bolt, mendedahkan hasrat untuk kembali beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) namun bukan di trek.

Kali ini, Bolt meletakkan sasaran kepada sukan kriket yang bakal membuat kemunculan semula di Olimpik selepas penantian 128 tahun.

Sukan Olimpik LA28 dijadual berlangsung dari 12 hingga 29 Julai 2028, dengan kriket antara sukan utama baharu yang dimasukkan dalam program temasya berkenaan.

Kepulangan kriket ke Olimpik mencetuskan keterujaan di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan negara tradisi sukan berkenaan.

Membesar di Caribbean yang sinonim dengan kriket, Bolt berkata sukan itu adalah minat pertamanya sebelum pecut mengubah perjalanan hidupnya.

Walaupun sudah bersara daripada olahraga profesional, pemenang lapan pingat emas Olimpik itu memberi bayangan sedia mewakili Jamaica sekali lagi jika peluang terbuka.

Hubungan Bolt dengan kriket bermula sejak zaman persekolahannya di Jamaica. Sebelum dikenali sebagai manusia terpantas di dunia, impiannya adalah untuk menjadi pemain kriket.

Seorang jurulatih kemudian menggalakkannya mencuba olahraga trek dan padang keputusan yang mengubah sejarah sukan dunia namun kecintaannya terhadap kriket tidak pernah pudar.

Ketika bercakap kepada majalah Esquire, Bolt berseloroh mengenai kemungkinan kembali ke arena sukan kompetitif.

“Saya menikmati kehidupan bersara daripada sukan profesional. Saya sudah lama tidak bermain kriket, tetapi jika mereka memanggil, saya bersedia!,” katanya sambil ketawa.

Kenyataan itu pantas menarik perhatian ketika kriket bersiap sedia untuk kembali ke pentas Olimpik.

Bolt bersara daripada olahraga pada 2017 sebagai pelari paling berjaya dalam sejarah.

Dia memenangi lapan pingat emas Olimpik dan 11 gelaran Kejohanan Dunia, selain melengkapkan kejayaan berganda 100 meter dan 200 meter dalam tiga edisi Olimpik berturut-turut iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016. Rekod dunia bagi kedua-dua acara itu masih kekal sejak dicipta di Berlin pada 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top