USAS tanam padi NMR-152, manfaatkan tanah terbiar

USAS tanam padi NMR-152, manfaatkan tanah terbiar

am@hmetro.com.my

Ipoh: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan memulakan penanaman padi NMR-152 atau padi nuklear di Mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar membabitkan keluasan 8.1 hektar dalam usaha memanfaatkan keluasan tanah terbiar di Perak bagi pembangunan sekuriti makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata fasa awal projek rintis Pembangunan Tanah Sawah Terbiar itu merangkumi penanaman seluas satu hektar di tanah terbiar membabitkan lima penduduk Kampung Kandang Hulu, Kota Lama Kanan sebelum disasar untuk diperluaskan lagi kepada keseluruhan 40.5 hektar.

Katanya, selain penanaman secara berskala besar, penanaman berskala kecil menerusi program ‘Lamanku, Berasku’ turut disasarkan iaitu menerusi pembekalan set lengkap penanaman padi untuk diusahakan secara penanaman polibeg di kawasan rumah masing-masing membabitkan sebanyak 20 rumah penduduk kampung itu.

Menurutnya, bagi penanaman berskala besar ia membabitkan tiga fasa termasuk fasa kedua di mana ia membabitkan empat plot ujian penanaman seluas 0.2 hektar bagi setiap plot dengan penyertaan lima orang komuniti setempat selain fasa ketiga yang membabitkan penanaman pada keluasan 8.1 hektar.

Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang berkata, projek rintis yang dijangka menampakkan hasil enam bulan dari sekarang itu juga turut dipersetujui untuk dibuat di kawasan perkampungan Orang Asli dalam kawasan Dun Lintang memandangkan penanaman padi varieti berkenaan yang disifatkan tidak terlalu teknikal.

“Padi jenis NMR-152 ini tidak teknikal sangat memandangkan ia tahan cuaca ekstrim dan serangan penyakit, selain hanya memerlukan bekalan air yang minimum bagi penghasilan padi yang optimum. Malah padi boleh dituai dalam masa 110 hari yang justeru dapat mencapai sasaran penanaman padi tiga kali setahun atau lima kali dua tahun.

“Ia selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini yang memberi penekanan kepada sektor pertanian serta penternakan agar dibangun dan digiatkan pelaksanaan dengan memberi suntikan mekanisme baru dan moden dalam menjamin agenda sekuriti makanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd