Usia 63 tahun tawan Gunung Lobuche East

Usia 63 tahun tawan Gunung Lobuche East

MARAN: Seorang peneroka Felda Jengka 24 di sini, membuktikan usia bukan penghalang untuk mengejar impian apabila berjaya menawan Gunung Lo­buche East setinggi 6,119 meter di Nepal, Sabtu lalu.

Bagi Syed Abdullah Syed Qasim, 63, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Syed, kejayaan itu melengkapkan pencapaiannya menawan tiga gunung berketinggian melebihi 6,000 meter selepas sebelum ini menakluk Island Peak setinggi 6,189 meter di Nepal dan Kang Yatse II setinggi 6,250 meter di India.

Warga emas tersebut menawan puncak Lobuche East pada pukul 9.47 pagi, 10 Oktober lalu, bersama pendaki dari Temerloh, Nor Sirat Abd. Aziz, 48, menerusi ekspedisi Misi Persiapan Everest dan Lhotse dari 29 September hingga 16 Oktober ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu langkah penting dalam persiapannya mereali­sasi impian mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Eve­rest setinggi 8,848 meter dan Gunung Lhotse setinggi 8,516 meter pada musim pendakian 2027 atau 2028.

Syed Abdullah berkata, pendakian Lobuche East menguji ketahanan fizikal dan mental mereka apabila berdepan suhu di bawah paras negatif 20 darjah Celsius, laluan curam berais serta keadaan oksigen yang semakin menipis.

“Ketika berada pada ketinggian melebihi 5,800 meter, kami berdepan angin kuat dan setiap langkah perlu dibuat berhati-hati.

“Perasaan sebak, syukur dan terharu bercampur-baur apabila berjaya sampai ke puncak. Sebagai anak kampung dari Felda Jengka 24, dapat mengibarkan Jalur Gemilang pada ketinggian 6,119 meter adalah kebanggaan besar buat keluarga dan negara,” katanya ketika dihubungi di Nepal semalam.

Menurut Syed Abdullah , kos ekspedisi mencecah RM13,000 seorang dan ditanggung sendiri tanpa sebarang tajaan.

Katanya, Gunung Himlung Himal setinggi 7,126 meter di Nepal menjadi sasaran seterusnya sebagai persiapan terakhir sebelum mencabar Everest dan Lhotse.

Bagaimanapun, misi Double Header untuk menawan kedua-dua puncak berkenaan memerlukan dana kira-kira RM360,000 bagi membiayai keseluruhan ekspedisi.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang tajaan rasmi walaupun ramai memberikan so­kongan moral. Saya sangat berharap ada pihak dapat membantu merealisasikan impian ini. Ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk membuktikan anak Felda juga mampu mengibarkan Jalur Gemilang di puncak ter­tinggi dunia,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top