Usia 81 tahun genggam PhD

Usia 81 tahun genggam PhD

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pada usia 81 tahun, Abdul Ghani Muhamad berjaya merealisasikan impian menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan.

Bapa sembilan anak dan datuk kepada 35 cucu itu bakal menerima ijazah PhD dalam bidang Tasawuf dan Tarekat pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ahad ini selepas empat tahun mengikuti pengajian sejak 2022.

Abdul Ghani berkata, impian melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi itu sudah lama terpendam sejak di bangku sekolah menengah lagi, namun pelbagai kekangan kehidupan menyebabkan hasrat berkenaan hanya dapat direalisasikan selepas bersara.

Katanya, dia memilih bidang Tasawuf dan Tarekat menerusi tesis bertajuk Pengamalan Ajaran Tasawuf dan Tarekat di Negeri Kelantan: Penilaian Kritis Menurut Perspektif Pemikiran Imam al-Junaid dan Imam al-Ghazali bagi membantu menjelaskan kekeliruan masyarakat.

“Pandangan saya, masyarakat Islam hari ini bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam agama bahkan turut memerlukan penghayatan ilmu kerohanian yang dapat mendidik jiwa, menyucikan hati dan membentuk akhlak mulia.

“Sebab itu saya memilih bidang ini dengan harapan hasil penyelidikan saya ini dapat dimanfaatkan institusi agama, pusat pengajian pondok dan masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun pendakwah sukarela, penceramah motivasi dan tenaga pengajar agama itu berkata, perjalanan empat tahun menyiapkan PhD bukan mudah apabila berdepan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit prostat, artritis, gangguan saraf dan masalah penglihatan serius sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada kedua-dua belah mata.

“Keadaan kesihatan itu sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pengajian khususnya dari segi pembacaan, penulisan tesis, penyelidikan dan tumpuan terhadap kerja akademik.

“Faktor usia juga menyebabkan daya ingatan dan keupayaan berfikir semakin merosot sehingga saya perlu membaca berulang kali, membuat catatan dan mengambil masa lebih panjang untuk memahami serta membuat analisis.

“Saya juga perlu banyak bertanya dan mendapatkan bantuan anak, cucu, kakitangan universiti dan pihak lain untuk menguasai teknologi digital dan komputer bagi menyiapkan penyelidikan serta penulisan tesis.

“Dengan kesabaran, usaha yang berterusan serta pertolongan Allah SWT, saya tetap berusaha untuk menyempurnakan pengajian ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Selepas empat tahun mengharungi pelbagai cabaran, bekas guru Pendidikan Islam yang berkhidmat lebih 31 tahun di sekolah menengah kerajaan itu lega dan bersyukur akhirnya berjaya menamatkan pengajian tahun ini.

“Kejayaan ini memberikan kepuasan kepada saya kerana dapat membuktikan, usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus menuntut ilmu selagi diberikan kesihatan, kemampuan dan semangat daripada Allah SWT.

“Bagi saya, kejayaan ini satu amanah dan tanggungjawab untuk terus menyebarkan ilmu bermanfaat kepada masyarakat kerana pada usia seperti saya ini, kejayaan memperoleh PhD bukan lagi untuk mengejar pangkat, jawatan atau kemasyhuran.

“Sebaliknya, saya ingin mengisi sisa-sisa kehidupan yang Allah kurniakan dengan ilmu, amal dan khidmat kepada masyarakat. Mudah-mudahan segala usaha ini menjadi bekalan apabila saya kembali menghadap Allah SWT,” katanya.

Katanya, dia berhasrat meneruskan usaha penulisan, penterjemahan dan penerbitan kitab agama, mengembangkan hasil penyelidikan melalui buku serta artikel ilmiah selain berkongsi ilmu menerusi kuliah agama serta menggalakkan generasi muda dan golongan pesara supaya terus belajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top