Usia bukan halangan Zainal, Azraai

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Faktor usia Zainal Abidin Hassan dan Azraai Khor Abdullah dianggap bukan halangan utama untuk dua jurulatih berpengalaman itu menjadi antara pilihan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Perkara itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim ketika ditanya mengenai adakah usia kedua-dua jurulatih itu terlalu tua untuk memikul tugas selaku penolong jurulatih dalam skuad kebangsaan.

Ia selepas beberapa pihak termasuk netizen menganggap Zainal, 60, dan Azraai, 69, sudah berusia dengan ada yang berpendapat jawatan itu wajar diberikan kepada individu yang lebih muda.

Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagaimanapun menjelaskan perkara utama adalah melihat apa peranan yang diberikan Pan Gon kepada penolong jurulatih itu.

“Bergantung kepada tugas dia, kalau tugasnya untuk memberi input berkenaan pemain terbaik, budaya bola sepak Malaysia dan kebolehan anak tempatan kita untuk membantu Pan Gon, saya ingat tiada masalah. Lebih tua lebih baik, pengalamannya luas.

“Kalau ambil jurulatih muda, dia memang cergas tapi kemungkinan oleh kerana dia muda banyak benda dia nak kejar, dia takut masa depan tergugat, jadi dia ikut saja apa yang jurulatih cakap.

“Tapi jurulatih yang sudah senior, dia banyak pengalaman, cukup pengetahuan, jadi dia kenal semua pemain berbagai generasi. Dia akan beri input yang benar kepada jurulatih untuk membantu.

“Saya ingat umur ini semua tak memainkan peranan, dia bukan nak jadi pemain bola, dia nak jadi penolong jurulatih. Tapi seperti saya katakan peranan yang nak dimainkan itu akan menentukan.

“Kalau dalam kejurulatihan, Zainal dan Azraai pun cergas lagi. Tak ada masalah kesihatan dan sebagainya selain kedua-duanya berpengalaman sangat luas serta begitu lama dalam bola sepak tempatan,” katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini sudah menjelaskan bahawa badan induk itu akan memberikan kebebasan kepada Pan Gon untuk memilih penolong jurulatih tempatan bagi membantunya mengendalikan Harimau Malaya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan segala keputusan perlu dibuat oleh jurulatih dari Korea Selatan itu sendiri.

“Biar Pan Gon yang pilih antara calon yang ada, terpulang kepada dia. Bahagian mana dia nak guna, itu semua kita kena hormati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd