Usia Muda Bukan Penghalang, Harissa Adlynn Tidak Sangka Tercalon Pelakon Wanita Harapan FFM Ke-33

Usia Muda Bukan Penghalang, Harissa Adlynn Tidak Sangka Tercalon Pelakon Wanita Harapan FFM Ke-33

Penyanyi dan pelakon, Harissa Adlyyan tidak menyangka namanya tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-33.

Meskipun baru tiga tahun dalam industri lakonan, namun Harissa atau nama lengkapnya Harissa Adlynn Halim menganggap pencalonan itu satu kejayaan yang telah membuktikan bakatnya.

“Saya tak jangka pun akan tercalon dan sebenarnya saya tahu pun sebab ibu yang nampak satu hantaran di media sosial.

“Awal-awal tu memang saya tak percaya tapi bila periksa rupanya memang betul. Saya doakan supaya saya dapat sesuatu daripada itu dan kalau tidak pun saya sangat bersyukur kerana tercalon,” katanya.

Harissa berkata demikian ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama pada Isnin.

Bagaimanapun, Harissa berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi bagi kategori tersebut yang turut mencalonkan aktres Trisha Ooi.

“Saya tak ada kata-kata nak menggambarkan perasaan saya ketika ini, tapi saya percaya ini adalah salah satu langkah untuk saya menjadi lebih baik dalam bidang lakonan. Saya tercalon pun menerusi filem pertama saya jadi saya tidak letakkan apa-apa harapan.

“Kalau saya menang, Alhamdulillah tapi jika tidak saya tak kecewa sebaliknya saya tumpang gembira dengan kemenangan pelakon lain.

“Mereka yang tercalon tu merupakan pelakon yang sangat bagus dan filem mereka pun sangat hebat. Saya sebenarnya bersaing dengan mereka yang sangat hebat,” ujarnya.

Di kesempatan itu, Harissa mengucapkan terima kasih kepada pengarah, penerbit dan produksi filem The Lord Musang King atas kepercayaan mereka memberi peluang kepadanya menjayakan filem itu.

Selain Harissa, calon lain bagi kategori Pelakon Wanita Harapan FFM ke-33 turut  bersaing bersama pelakon Trishaa Ooi (Janna Endoro), Teoh Ying Pei (The Lord Musang King), Zera Hariz (Syif Malam) dan Takahara Suiko (Imaginur).

Dalam perkembangan lain, Harissa bakal muncul dalalam drama bersiri Benci Jadi Cinta bersama Syahmie Thsaqeef, Zhen Ning yang akan bersiaran di TikTok.

Scroll to Top