safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pegawai kadet Palapes, Syamsul Haris Shamsuddin bermula hari ini.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa yang membenarkan permohonan keluarga untuk menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan proses bedah siasat kedua dilaksanakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi tujuan penyelarasan tindakan.
“PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun yang telah difailkan melalui Peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula jasad Syamsul Haris, yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Susulan itu juga PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘Rule of Law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.
Terdahulu, dalam prosiding itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.
Perintah berkenaan adalah untuk menggali keluar jasad Syamsul Haris yang disemadi di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu, Semenyih bagi menjalankan bedah siasat kedua di bawah penyeliaan responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
Perintah kedua adalah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
Perintah ketiga adalah suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh post-mortem dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co.
Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas kematian pegawai kadet Palapes UTM itu mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd