Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menolak persepsi segelintir wanita yang mendakwa diri mereka lebih dekat dengan Allah SWT selepas memilih untuk membuka tudung.
Menurutnya, pandangan sedemikian jelas bercanggah dengan ajaran Islam kerana setiap insan wajib mematuhi segala perintah Allah SWT tanpa pengecualian.
“Itu kata-kata orang jahil. Kalau benar mahu dekat dengan Allah, kita perlu taat kepada-Nya. Kalau kita melanggar perintah-Nya, hakikatnya kita makin jauh daripada Allah. Tidak mungkin orang yang derhaka boleh menjadi rapat dengan Allah,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Bagi memperkukuh hujah, Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan tentang ayat al-Quran yang menekankan kewajipan wanita beriman untuk menutup aurat.
“Allah berfirman yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu serta wanita beriman supaya memakai jilbab yang menutup rambut, kepala, tengkuk dan belahan dada. Dengan itu, mereka akan berbeza daripada wanita yang tidak beriman,” jelasnya.
Ustaz Azhar sekali lagi menegaskan, dakwaan kononnya membuka hijab mendekatkan diri dengan Allah SWT adalah tidak benar.
“Sebenarnya, orang yang menutup aurat lebih dekat dengan Allah kerana ia adalah perintah-Nya. Manakala yang mendedahkan aurat pula adalah tanda derhaka,” katanya.
@ustaz.azhar.idrus Adakah Buka Tudung Rasa Dekat Dengan Allah? #ustazazharidrus #ustazazharidrusofficial #ustazazhar #tudung




