am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Pegawai agama daerah Jempol maut selepas kereta dinaikinya dikatakan dihempap pokok tumbang dekat Kampung Dioh, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 10.50 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Nawawi Husin, 39, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Razidi Samik berkata, enam anggota dan pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.52.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati pokok tumbang menghempap Perodua Viva.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 39 tahun tersepit di dalam kenderaan itu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bertugas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




