Ustaz tular serang 13 pelajar madrasah didenda RM18,200

Ustaz tular serang 13 pelajar madrasah didenda RM18,200

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Lelaki yang tular selepas videonya menyerang sekumpulan pelajar di sebuah madrasah didenda sejumlah RM18,200 atas 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, hari ini.

Mahkamah menjatuhkan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan, atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Saifur mengaku secara sukarela menyebabkan kecederaan ke atas 13 mangsa yang berusia antara 14 hingga 20 tahun pada 14 Disember lalu, antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam, di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Dalam proses rayuan, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan dengan menyatakan tertuduh hanya bekerja sebagai ustaz dengan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan ia menjadi kesalahan pertamanya.

“Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa ‘melarikan diri’ dari asrama sekitar jam 11.30 malam, dan itu menyebabkan dia berang.

“Walaupun itu bukan alasan untuk memukul mereka, ia menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Dapatan kes juga menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis juga dibuat pihak berkuasa dan bukan oleh mangsa atau ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam.

Beliau berkata, niat baik tertuduh tidak boleh menghalalkan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Katanya, hukuman itu perlu menjadi pengajaran bagi mengelakkan tertuduh mengulangi kesalahan serta memberi mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sedemikian.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan, satu laporan polis dibuat pada 15 Disember, iaitu jam 7.07 malam susulan penularan video yang memaparkan tertuduh menyerang mangsa.

Siasatan mendapati pada 14 Disember lalu iaitu jam 11.55 malam tertuduh menyerang 13 pelajar lelaki yang berada di sebuah kedai Gaming Zone di Bandar Sierra dengan menggunakan topi keledar.

Tertuduh tidak menyedari perbuatannya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.

Mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth dan disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut.

Siasatan lanjut mengesahkan tertuduh menyebabkan kecederaan ke atas semua mangsa dengan memukul mereka menggunakan topi keledar.

Tertuduh membayar denda mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top