Kuala Lumpur: Soal sama ada pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Perikatan Nasional (PN) tidak mahu melangkaui ‘aturan’ dan sebarang strategi perlu dirangka dengan teratur.
Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.
“Bila kita nak buat sesuatu, kita sudah ada step (langkahnya). Pertamanya kita sudah buat untuk bawa YB (Yang Berhormat) Tambun (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Kita nak tengok respon Speaker. Selepas itu, baru kita bawa satu lagi (usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri). Tak boleh melangkaui ini sebab kita nak buat itu dulu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Sebelum ini, PN memberi bayangan akan menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Johari dalam masa terdekat.
Minggu lalu, Anwar mencabar Hamzah untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya kerana sudah menunggu tiga tahun ia dibawa ke Parlimen.
© New Straits Times Press (M) Bhd