am@hmetro.com.my
Pekan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan kanak-kanak bermain di kawasan banjir.
Ini berikutan tinjauan JBPM mendapati masih ada ibu bapa dan penjaga membiarkan kanak-kanak bermain banjir khususnya di sekitar kawasan berhampiran Sungai Pahang, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kecuaian ibu bapa membiarkan anak masing-masing bermain di kawasan banjir tanpa pengawasan itu dikhuatiri boleh mengundang pelbagai kejadian tidak diingini.
Menurutnya, hasil tinjauan di kawasan terjejas hari ini, bomba terserempak sekumpulan kanak-kanak bermain di kawasan banjir berhampiran sebuah rumah di Kampung Surau Ganghong, di sini.
“Lebih mengejutkan sorang kanak-kanak berusia bawah dua tahun turut bermain di kawasan banjir tanpa diawasi orang dewasa.
“Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab memantau keselamatan anak masing-masing kerana ketika ini banjir belum surut sepenuhnya khususnya di kawasan perkampungan berhampiran Sungai Pahang,” katanya ketika ditemui.
Wan Samsul Effendi berkata, ketika ini beberapa perkampungan berhampiran Sungai Pahang masih ditenggelami banjir termasuk Kampung Pulau Manis, Kampung Tanjung Pulai, Kampung Tebat dan Kampung Ganchong.
Katanya, selain bimbang kejadian lemas pelbagai risiko lain boleh berlaku ketika banjir.
“Dalam banjir itu mungkin ada benda tajam seperti kayu hanyut, paku, kaca dan pelbagai binatang berbisa termasuk ular.
“Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak bermain banjir mereka terdedah dengan pelbagai risiko,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




