Utamakan pemberian dos pertama vaksin

Utamakan pemberian dos pertama vaksin

saadiah_ismail@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemberian dos vaksin pertama seharusnya diutamakan kerana ia mampu meningkatkan peratusan peningkatan perlindungan COVID-19 berbanding memberi fokus kepada dos yang lengkap.

Pakar perubatan kesihatan awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata tindakan berkenaan berjaya dilaksanakan di beberapa negara dan kerajaan seharusnya mempertimbangkan sekiranya stok vaksin tidak mencukupi.

Katanya, selain itu, pembukaan sektor tertentu juga harus dilaksanakan secara berperingkat berlandaskan sasaran peratusan vaksinasi yang sudah dilaksanakan.

“Tindakan pembukaan sektor industri secara serentak dilihat tidak selari dengan usaha kerajaan untuk menurunkan angka kes COVID-19 kerana pastinya ramai yang akan keluar bekerja dan berada di luar rumah tanpa sebarang perlindungan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 rata-ratanya seperti mengecewakan ramai pihak kerana ia jauh berbeza daripada PKP 1.0 kerana jika kerajaan benar-benar serius ingin menurunkan angka kes, ia perlu dilaksanakan dengan tegas untuk tempoh waktu dinyatakan.

“Memang agak sukar kerana ia membabitkan ekonomi negara, tetapi jika kita berjaya melandaikan kes, pada masa akan datang, tidak mustahil semua orang boleh menikmati kehidupan yang baik selepas ini dan tiada PKP lagi dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, masa dua minggu pelaksanaan ‘lockdown’ akan datang adalah tempoh yang kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000.

Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19, yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi.

Katanya lagi, sekiranya sasaran peratusan vaksinasi juga sudah bertambah, pekerja juga boleh kembali bekerja ke pejabat secara berperingkat.

“Tetapi ketika ini, sepatutnya lebih ramai bekerja di rumah (BDR) berbanding ke pejabat.

“Justeru masyarakat juga seharusnya serius dalam menjayakan perkara ini dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan serta jangan anggap anda selamat, sentiasa berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Prof kesihatan komuniti, pengurusan hospital dan kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata pembukaan sektor industri antara perkara yang paling tidak masuk akal dalam tempoh PKP 3.0 ini kerana pastinya ramai orang akan berada di luar rumah.

Malah ia juga dianggap seperti tidak adil kepada rakyat biasa seperti peniaga kecil yang jelas bimbang untuk membuka perniagaan mereka.

Katanya, sehingga kini kira-kira 70 peratus kluster membabitkan tempat kerja kerana banyak isu yang boleh dikaitkan.

“Akhirnya, ia tidak memberi kesan kepada PKP 3.0 ini kerana tindakan yang tidak seimbang ini.

“Sepatutnya hanya industri berkepentingan dibenarkan buka dan mempunyai kuota 30 peratus dan secara bergilir-gilir datang ke pejabat.

“Sekiranya kebolehjangkitan (Rt) menurun, jumlah pekerja ke pejabat juga boleh ditambah secara berperingkat,” katanya.

Jelasnya lagi, keperluan sanitasi di tempat awam juga perlu ditingkatkan terutama di kawasan berisiko kerana selain dapat memastikan wabak COVID-19 ini dikurangkan, dalam masa yang sama penyakit lain juga dapat terhindar.

“Kita tidak mahu dalam masa negara berusaha melandaikan wabak COVID-19 ini, ada pertambahan penyakit lain pula seperti denggi, kencing tikus dan sebagainya disebabkan oleh kurangnya tahap kebersihan.

“Semua orang perlu ada kesedaran kerana kes kematian akibat COVID-19 tinggi dan kematian tanpa dikesan juga tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top