UTeM lahirkan pengendali dron profesional wanita

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya mengetengahkan pengendali dron dalam kalangan staf wanita menerusi kursus dan pengiktirafan yang telah dijalankan baru-baru ini di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil baru-baru ini.

Mereka telah berjaya melengkapkan kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training yang dianjurkan dan diiktiraf oleh Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.

Raeihah Mohd Zain dan Rohaina Jaafar yang bertugas sebagai Jurutera Pengajar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) merupakan pengendali dron wanita profesional pertama dari UTeM yang diiktiraf.

Raeihah berkata, menerusi kursus dan pengiktirafan itu membolehkan beliau menambahkan ilmu, kemahiran serta cara pengendalian berkaitan dron sebenar dan kini beliau lebih yakin untuk mengendalikan dron secara profesional.

Jelasnya, antara cabaran dalam pengendalian dron adalah untuk memastikan dron dipasang serta diprogram dengan betul supaya dron dapat terbang dengan stabil.

“Pada masa yang sama kami berjaya melakukan proses kalibrasi dron yang boleh dikatakan agak rumit itu dengan teliti dan sempurna seterusnya mengendalikan penerbangan dron dengan baik dan stabil,” katanya lagi.

Sementara itu Rohaina pula menyatakan sebagai pengandali drone profesional kami dilengkapkan dengan pengetahuan tentang undang-undang penerbangan dron secara rasmi.

“Kami didedahkan berkenaan undang-undang pengendalian dron di Malaysia oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” ujarnya.

Katanya lagi, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki kini bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata malahan dapat berkongsi kepada pelajar dan tentunya ianya memberikan impak besar kepada UTeM.

Dalam kursus yang telah mereka jalani turut diikuti dengan jayanya oleh empat orang lagi rakan FTKEE mereka iaitu Ts. Aminurrashid Noordin (Pensyarah Kanan), Ts. Tg Mohd Faisal Tengku Wook (Pengurus Makmal JTKEK), Ts. Muhamad Falihan Bahari (Jurutera Pengajar) dan Tc. Azizi Bin Osman (Penolong Jurutera).

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin (2 dari kiri) menyampaikan sijil kepada Raeihah Mohd Zain yang telah berjaya dalam kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training yang dianjurkan dan diiktiraf oleh Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, inisiatif UTeM mengetengahkan pengendali dron dalam kalangan staf wanita adalah langkah ke hadapan agar wanita turut menceburi dan berjaya sebagai pengendali drone profesional yang berjaya.

Jelasnya, mereka juga mahir dan profesional dalam perkara ini dan selepas ini mereka turut bersama untuk menjayakan beberapa projek khas yang akan dilaksanakan oleh UTeM yang memerlukan penggunaan drone secara lebih meluas seperti sektor pertanian.

Di samping itu, mereka juga dapat berkongsi ilmu dan kemahiran kepada para pelajar serta menyumbang kepada penjanaan pendapatan kepada universiti melalui program-program bersama pelajar dan kolaborasi bersama pihak luar. – MalaysiaGazette