UTP juara debat Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

UTP juara debat Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara dalam persaingan akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023.

Kemenangan itu diperoleh selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

UTP membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM12,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil, manakala UKM yang muncul sebagai naib juara menerima wang tunai RM6,000, trofi dan sijil penyertaan.

Dalam pada itu, pendebat terbaik keseluruhan dimenangi oleh Muhammad Iman Azhar dari UKM dan memenangi wang tunai RM1,500, manakala pendebat terbaik akhir dimenangi oleh Nur Izzah Nasuha Zulmuksah dari UTP dan memperoleh hadian wang tunai RM1,500.

Pada pertandingan itu, pasukan UKM berada di posisi kerajaan manakala pasukan UTP berada di posisi pembangkang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, platform debat menjadi medan penting untuk terus melatih dan menyemarakkan bakat kepimpinan dalam kalangan anak muda di Malaysia.

Selain itu, katanya ia bagi memberi peluang kepada mahasiswa mengemuka dan memberikan hujahan serta idea yang boleh membantu SPRM mewujudkan masyarakat yang benci rasuah.

“Saya sendiri merasakan bagi memotivasikan pendebat supaya bersungguh dalam gelanggang perdebatan maka hadiah pada tahun ini digandakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua SPRM 2023.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dalam ucapannya berkata, UMS amat berbesar hati kerana telah dilantik menjadi tuan rumah Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi 2023.

Dalam pada itu, Ketua Pendebat UTP, Nurul Izzah Nasuha berpendapat usaha SPRM dalam menyebarluas mesej antirasuah kepada golongan muda perlu dipergiatkan agar lebih menyeluruh.

“Saya kira pertandingan ini sangat relevan diadakan kerana melaluinya saya didedahkan dengan banyak info berkaitan antirasuah selain dapat memberi pandangan sebagai suara mewakili golongan muda,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 40 pasukan debat Universiti Awam, Universiti Swasta, Institusi Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan Mara dan Politeknik mengambil bahagian.

© New Straits Times Press (M) Bhd