UUM bimbing graduan manfaatkan potensi diri

UUM bimbing graduan manfaatkan potensi diri

Pandemik COVID-19 dan langkah menghadapinya seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat membimbangkan masyarakat, terutama bagaimana akan menempuh keadaan ini sedangkan peluang pekerjaan dan pendapatan masih tidak menentu.

Bagi graduan universiti, mereka perlu memikirkan masa depan kerana peluang pekerjaan sangat terhad dan perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi bersesuaian Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Dalam Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada awal tahun ini, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru graduan memperkukuhkan kebolehpasaran, memacukan kesejahteraan komuniti dan mempertingkatkan kemahiran melalui peningkatan tawaran kursus pendigitalan pendidikan.

Majlis Pekerjaan Negara (MPN) pula ditubuhkan untuk mengatasi masalah pengangguran graduan, sekali gus meneroka peluang pekerjaan walaupun bukan bidang pembelajarannya di universiti.

Dua domain penting menggalakkan graduan mendapatkan peluang pekerjaan dengan kemahiran sedia ada ialah Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025 serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kebanyakan graduan tidak yakin dengan kemahiran sedia ada memandangkan tawaran pasaran buruh mahir semakin terhad. Berdasarkan dua domain itu, graduan perlu memajukan diri dan menghadapi norma baharu dengan mengenal pasti kemahiran mereka.

Domain itu pula selari dengan Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan enam teras memfokuskan tiga agenda untuk memajukan modal insan, UUM Branding, Quality Alumni dan Management Reference Centre berlandaskan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani menyeru semua pensyarah memainkan peranan penting untuk menghadapi cabaran 2021 dengan menjadi penggerak modal insan (graduan) supaya lebih kreatif, berkemahiran kendiri dan inovatif.

UUM merangka pelbagai kursus jangka pendek atau sambilan menekankan kemahiran ‘pusingan U’ untuk graduan lepasan universiti meningkatkan kemahiran mereka bagi mencari pekerjaan secara maya.

Ramai graduan pandai menggunakan internet, tetapi tidak menitikberatkan kemahiran pengaplikasian internet, sebaliknya mencari kemahiran tidak sesuai.

Justeru, UUM merangka strategi kepada graduan menganggur untuk menghidupkan semula kendiri global, interpersonal dan kecerdasan emosi supaya lebih yakin serta dinamik.

Kemahiran itulah dikenali sebagai kemahiran ‘pusingan U’ dengan graduan menggunakan kemahiran sedia ada daripada mencari kemahiran lain sehingga menyukarkan mereka mencari pekerjaan.

Misalnya, graduan berkebolehan berniaga meningkatkan kemahiran terpendam secara interpersonal dengan mengambil kursus sambilan atau jangka pendek ditawarkan di UUM.

Tidak ramai graduan tahu kemahiran ‘pusingan U’ itu kerana mereka sering mempunyai persepsi negatif terhadap peluang pekerjaan dan kebolehpasaran intelektual mereka kepada pembangunan negara.

Kadar pengangguran meningkat ketika PKP juga membimbangkan mereka.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menyatakan kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus dengan penyumbang terbesar ialah penganggur siswazah, iaitu 29.3 peratus.

Statistik ini jelas menunjukkan siswazah perlu berfikiran positif dan mencari jalan meningkat pengetahuan serta kemahiran agar tidak kecewa dengan situasi semasa.

UUM merangka strategi membangkitkan semula kemahiran kendiri graduan melalui pelbagai cara. Graduan akan melalui modifikasi tingkah laku dan kemahiran melalui kursus untuk merungkai kemahiran sedia ada dan mendisiplinkan ilmu ke arah memajukan diri serta meningkatkan pendapatan.

Pengiktirafan dengan pemberian sijil selepas tamat kursus pendek dan sambilan akan meyakinkan mereka bahawa kebolehpasaran dengan meningkatkan kemahiran ‘pusingan U’ adalah menguntungkan dan memperkasakan agenda keusahawanan di bawah Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025.

Walaupun darurat kesihatan atau PKP dilaksanakan, dengan meningkatkan kemahiran ‘pusingan U’, graduan akan lebih yakin mencari pekerjaan di dunia industri mengikut kebolehan tanpa bergantung kepada kerajaan.

Memandangkan agak sukar untuk mana-mana pihak mencari peluang pekerjaan, graduan perlu mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka supaya mendapat pekerjaan mengikut kebolehan atau mewujudkan pekerjaan sendiri.

Dr Mohan Rathakrishnan,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top