norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengacara Uyaina Arshad, 34, tidak menduga luahannya untuk menjadi ‘pejuang garis satu’ sekali gus tidak mahu hamil lagi selepas melahirkan tiga anak disalah erti oleh segelintir netizen.
Uyaina atau nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, kenyataan dibuatnya sekadar hasrat diri dan tiada niat untuk merendahkan wanita ‘pejuang garis dua’ atau mereka yang dalam proses mencuba untuk hamil (TTC).
“Dalam soal mahu terus hamil atau tidak lagi, itu bergantung kepada perancangan setiap wanita. Tapi, luahan kenyataan saya itu sama sekali tidak berniat pun merendahkan hasrat orang lain.
“Bagaimanapun, saya rasa ramai orang seperti saya yang berjuang untuk tidak mengandung lagi sama ada secara manual (semula jadi) ataupun dengan bantuan alat perancang.
“Ini kerana apabila setiap kali buat ujian kehamilan, saya selalu cakap untuk diri sendiri, janganlah ada garis dua sebab waktu awal-awal dulu memang pernah merancang secara manual,” katanya.
Uyaina berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story yang boleh ditonton di platform penstriman, P-Circle, di sini, semalam.
Menurut isteri kepada penyanyi Raja Syahiran ini, dia juga mempunyai ramai rakan dalam proses TTC dan tidak pernah memberi tanggapan negatif terhadap usaha yang diperjuangkan mereka untuk memiliki cahaya mata.
“Saya percaya bahawa setiap wanita ada perancangan serta prinsip tersendiri mengenai kehamilan. Apatah lagi, saya juga ada ramai kawan iaitu ‘pejuang garis dua’ termasuk yang kini berusaha untuk hamil.
“Selama ini, saya tak pernah cakap perkara yang buruk untuk mereka, malah saya sentiasa doakan yang terbaik.
“Saya pun tak tahu macam mana ada orang boleh terfikir ke arah itu. Bagi saya, kalau ada pejuang garis dua, mesti ada juga pejuang garis satu,” katanya.
Justeru, Uyaina tegas memaklumkan kenyataan dibuatnya tidak bertujuan mencuba untuk melaga-lagakan mana-mana pihak serta merendahkan usaha orang lain untuk memperolehi anak.
“Masing-masing ada pendapat mereka. Tetapi hantaran saya itu bukan untuk melagakan individu yang sedang berjuang mendapatkan anak dengan individu yang berusaha untuk merancang.
“Saya juga bukan hendak bandingkan perjuangan siapa yang lebih teruk atau siapa lebih berat dan siapa yang menderita. Hakikatnya, kita ada perjuangan masing-masing dan hanya kita saja tahu dan faham apa yang diperjuangkan,” katanya.
Baru-baru ini, Uyaina berkongsi di Threads mengenai usahanya menjadi ‘pejuang garis satu’, namun menerima pelbagai reaksi kurang menyenangkan daripada netizen.
Enggan memanjangkan cerita, Uyaina kemudian tampil memohon maaf jika ada pihak yang terasa dengan kenyataan dibuatnya dan bersikap terbuka untuk menerima setiap pandangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




