Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, akhirnya mengesahkan bahawa dirinya kini sedang hamil anak ketiga.
Perkongsian gembira itu diumumkan sendiri oleh Uyaina menerusi sebuah video di Instagram sekaligus membuatkan ramai peminat dan rakan artis teruja dengan berita gembira tersebut.
“Sebenarnya saya dah lama simpan cerita ni. Dan berita ni eksklusif untuk netizen semua.
“Ada satu benda saya nak bagitahu, sebenarnya saya sekarang tengah mengandung tiga bulan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Uyaina yang juga bekas pengacara program Wanita Hari Ini mengakui terpaksa menghentikan usahanya untuk menurunkan berat badan disebabkan keadaan dirinya.
Namun, dia dan suami yang juga penyanyi Raja Syahiran, bersyukur dengan rezeki yang tidak dijangka ini.
“Bukanlah tiap-tiap tahun pun saya hamil… tapi selang dua tahun, ya.
“Anak pertama 2022, anak kedua 2024, dan Insya-Allah yang ketiga ini 2026.
“Kami pun tak rancang sebenarnya. Tapi ini semua pemberian Tuhan. Dan kalau ikut perancangan, Insya-Allah… ini yang terakhir,” ulasnya.
Menjengah ke ruangan komen, hantaran tersebut dipenuhi dengan ucapan tahniah dan doa daripada peminat dan rakan-rakan selebriti.
Untuk info, Uyaina dan Raja Syahiran mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2021, dan kini sudah pun dikurniakan dua cahaya mata comel iaitu Raja Urhan, 3, dan Raja Urayyan, yang kini berusia setahun.