Vaksin AstraZeneca selamat, kata menteri

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata daripada kajian klinikal yang dijalankan tiada kesan sampingan teruk dilaporkan. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca selamat digunakan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, Adham memaklumkan bahawa Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas adalah selamat digunakan di Malaysia.

Menurutnya data keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang diperoleh daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Beliau berkata, kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai ringan (mild) atau sederhana (moderate).

“Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama,” katanya dalam kenyataan berhubung isu status keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Menurutnya, kajian klinikal juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah termasuk penggumpalan darah selepas menerima suntikan vaksin itu.

Adham berkata, AstraZeneca Sdn Bhd telah mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lepas untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca, terutama berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).

Menurut syarikat itu, 17 juta orang awam sudah menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca di Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) setakat 8 Mac lepas, dan terdapat 15 kes deep vein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism dilaporkan dalam kalangan penerima vaksin itu.

Menurut Adham, penilaian terperinci daripada semua kes itu telah dibuat oleh pihak syarikat dan dirumuskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke atas risiko berlakunya kes thromboembolic event.

Jumlah kes thromboembolic event yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi berkenaan dan kesimpulan itu juga telah disokong oleh pihak European Medicines Agency (EMA), katanya

Pelaporan kesan “advers” susulan imunisasi vaksin Covid-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan, katanya.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.