Vaksin Pfizer/BioNTech berkesan melawat varian Afrika Selatan

Vaksin Pfizer/BioNTech berkesan melawat varian Afrika Selatan

BERLIN: Syarikat farmasuetikal, Pfizer dan BioNTech hari ini menjelaskan bahawa vaksin COVID-19 keluaran mereka berkesan melawan virus COVID-19 varian Afrika Selatan, berdasarkan keputusan fasa terbaru ujian klinikal yang sedang berlangsung.

Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu, tiada kes jangkitan penyakit dikesan di Afrika Selatan ketika kajian percubaan fasa tiga di antara peserta yang sudah menerima dos kedua.

Beberapa varian virus COVID-19 yang berpotensi lebih menular dikesan sebelum ini menyebabkan kebimbangan global mengenai apakah vaksin yang ada masih akan melindungi dunia dari virus yang terus bermutasi.

“Di Afrika Selatan, di mana varian B.1.351 dikesan dan sembilan kes jangkitan COVID-19 diperhatikan semuanya dalam kumpulan plasebo,” kata syarikat itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sembilan strain diuraikan dan enam daripadanya disahkan berasal dari varian B.1.351.

“Keberkesanan vaksin ini diawasi hingga enam bulan selepas dos kedua dan keputusan terhadap varian Afrika Selatan ini memberi keyakinan tinggi terhadap keberkesanan vaksin kita secara keseluruhannya,” kata Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla.

Secara keseluruhan, beliau berkata, vaksin ini menunjukkan 91.3 peratus keberkesanan terhadap COVID-19 dalam analisis 46,307 peserta percubaan di beberapa negara.

Dari 927 kes simptomatik COVID-19 yang disahkan dalam percubaan itu, 850 kes berada dalam kumpulan plasebo dan 77 kes pada kumpulan vaksin.

Vaksin ini 100 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk seperti yang ditentukan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan 95.3 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk seperti yang ditentukan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS.

Pfizer dan BioNTech berkata, pada Januari lalu terdapat ‘perbezaan kecil’ yang dikesan dalam ujian membandingkan virus asal dan versi baru-baru ini ‘tidak mungkin menyebabkan penurunan keberkesanan vaksin yang ketara’.

Syarikat itu juga hari ini berkata, data baharu ‘menyokong hasil sebelumnya dari kajian imunogenisitas yang menunjukkan bahawa (vaksin) mendorong tindak balas antibodi peneutralan yang kuat terhadap varian B1.351 (Afrika Selatan). – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top