Vaksin untuk Johor ditingkatkan kepada 1.5 juta dos

Vaksin untuk Johor ditingkatkan kepada 1.5 juta dos

farid_noh@bh.com.my

PAGOH: Kira-kira 40 peratus penduduk dewasa di Johor dijangka menerima vaksin sebelum 31 Ogos ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan 1.5 juta dos vaksin COVID-19 dihantar ke Johor, berbanding hanya 1.3 juta dos yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat berikutan kekecewaan dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam, serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, baru-baru ini.

“Saya ingin menyelesaikan isu vaksin di Johor berikutan Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda, semalam.

“Saya sudah meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, supaya melihat situasi di Johor serta buat seperti mana di negeri lain, kerana saya melihat (tahap vaksinasi) Johor masih di bawah.

“Khairy dan Dr Adham juga sudah diarahkan menghadap Sultan Johor serta Tunku Mahkota Johor, untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu ini.

“Sebanyak 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor berbanding 1.3 juta dos yang dicadangkan pada peringkat awal. Langkah ini sekali gus membolehkan 40 peratus populasi dewasa di negeri ini disasarkan menerima vaksin sebelum Hari Kemerdekaan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil FELDA Lenga Batu 27, di sini, hari ini.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di PPV itu turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada wakil masyarakat FELDA Moakil yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 14 hingga 27 Julai lalu, di lokasi sama.

Semalam, Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda terhadap kadar vaksinasi yang masih rendah di negeri ini.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Sultan Johor, malam tadi, baginda bertitah, hingga 2 Ogos lalu, perangkaan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 menunjukkan sebanyak 31.3 peratus (1,184,151 orang) menerima vaksin dos pertama, manakala tiada perangkaan memaparkan kadar suntikan dos kedua.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau mengaku kadar vaksinasi di Johor masih belum berada pada tahap memuaskan berbanding beberapa negeri lain, disebabkan faktor bekalan vaksin yang sudah ditempah tidak sampai mengikut jadual.

“Johor hanya mencatat kadar vaksinasi kira-kira 20 peratus berbanding sesetengah negeri yang sudah mencapai 60 peratus.

“Johor bukan masalah rakyat tidak mahu vaksinasi, namun kerana bekalan yang sudah ditempah tidak sampai mengikut waktu dijanjikan.

“Oleh itu, kita terpaksa membeli tambahan bawah Pharmaniaga Berhad untuk menampung dahulu kelompangan bekalan vaksin yang tidak sampai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top