Vaksinasi secara 'walk-in' diperluas

Vaksinasi secara 'walk-in' diperluas

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Inisiatif vaksinasi secara terus atau ‘walk-in’ yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang akan diperluaskan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di seluruh negara dalam masa terdekat.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan vaksinasi secara ‘walk-in’ untuk kumpulan tertentu itu adalah selari dengan usaha untuk memastikan inisiatif pemberian pelalian itu terus dipertingkatkan di seluruh negara.

CITF menjelaskan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak sudah memulakan inisiatif ‘walk-in’ kepada warga emas, termasuk Kelantan yang membuka secara pratempahan.

“Perincian pelaksanaan vaksinasi secara terus itu akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV bagi setiap negeri.

“Vaksinasi secara terus dikhususkan bagi kumpulan warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun ke atas serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ia juga dikhususkan kepada individu yang terlepas suntikan dos kedua. Mereka boleh ke PPV berhampiran rumah, tetapi boleh dirujuk ke PPV lain jika awal tidak menawarkan vaksin jenis sama dengan dos pertama penerima,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, pemberian vaksin secara terus di Lembah Klang akan berkuat kuasa 2 Ogos ini dengan keutamaan akan diberikan kepada individu berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi.

Sementara itu, CITF meminta penduduk di Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori dinyatakan dan tidak mendapat janji temu vaksinasi, tetapi ingin mendapatkan suntikan secara terus bagi dos pertama, perlu ke PPV disenaraikan sebelum ini.

“Penerimaan suntikan secara ‘Walk-in’ ke PPV disenaraikan sebelum ini juga kini dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya jam 2 petang.

“Bagaimanapun, wanita hamil tidak digalakkan untuk ‘walk-in’, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin ke PPV bersesuaian,” kata CITF sambil menambah, jumlah ‘walk-in’ harian adalah bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV.

Katanya, individu yang tidak berpeluang menerima vaksinasi pada hari terbabit susulan kehabisan bekalan vaksin di PPV, akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokannya.

“Orang ramai juga dimohon mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi secara walk in. Ini bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan keselamatan di PPV,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top