Vaksinasi: Siapa harus diberi keutamaan selepas ini?

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, pekerja kebersihan dan asing harus diutamakan selepas ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Siapakah yang seharusnya diberi keutamaan dalam program vaksinasi berikutnya? Dua kumpulan profesional dan seorang ahli politik mengemukakan cadangan mereka.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, pekerja kebersihan dan asing harus diberikan keutamaan itu.

Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata, “tenaga kerja produktif”, iaitu golongan muda, bukan pesara yang harus didahulukan.

“Semua orang,” kata Dr Lee Boon Chye, bekas timbalan menteri kesihatan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dr Lee Boon Chye.

Mereka memberikan cadangan masing-masing kepada FMT sebagai respons terhadap kenyataan menteri penyelaras program imunisasi kebangsaan Khairy Jamaluddin yang memberitahu bahawa kumpulan baharu penerima vaksin Covid-19 Fasa 2 akan diumumkan Isnin depan.

Beliau berkata, kerajaan menimbangkan untuk membuka lebih banyak tempat susulan angka pendaftaran vaksin yang rendah.

Pada ketika ini Fasa 2 meliputi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, orang kelainan upaya dan pesakit kronik.

Fasa 2 dijadual bermula pada April hingga Ogos. Fasa 1 yang bermula dari Februari hingga April meliputi kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan.

Dr Subramaniam Muniandy

Kumpulan yang boleh membuka ekonomi

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, pekerja asing perlu dimasukkan kerana kes baharu dikesan hampir setiap hari di tapak pembinaan dan kilang.

Pekerja kebersihan juga berdepan risiko tinggi kerana mereka mengendalikan bahan tercemar.

Beliau juga menyenaraikan:

  • semua orang yang bekerja dalam bidang pendidikan, perkhidmatan pelanggan, hospitaliti dan pelancongan, supaya ekonomi boleh dibuka; dan
  • doktor am: vaksin untuk kumpulan doktor ini perlu disegerakan kerana ramai pengamal perubatan am terlibat dalam ujian saringan besar-besaran pekerja asing dan masyarakat umum.

Pengarah eksekutif MICCI, Shaun Cheah berkata, “pekerja terdiri daripada golongan muda, bukan pesara, kecuali mereka adalah majikan atau industri” harus diberi vaksin seterusnya, agar ekonomi kembali bergerak.

Shaun Cheah

Kumpulan rentan harus diberi vaksin, tetapi pada masa sama mereka masih boleh dilindungi dengan pematuhan ketat prosedur pencegahan dan penjarakan sosial, katanya.

Namun Khairy berkata pada Khamis, orang tua dan kumpulan berisiko tinggi lain akan tetap menjadi kumpulan sasaran utama pada Fasa 2.

Individu yang mahu harus mendapatnya

Senarai Dr Lee Boon Chye termasuk “mereka yang sifat kerjanya sering berhubungan langsung dengan ramai orang” seperti dalam industri makanan dan minuman, guru, wartawan, penyambut tetamu dan tukang gunting rambut, yang berisiko tinggi dijangkiti, atau berpotensi menyebarkan koronavirus.

Sekiranya bekalan vaksin mencukupi, setiap orang yang menginginkannya harus diberi vaksin, katanya.

“Menetapkan keutamaan berdasarkan kumpulan akan merumitkan pelaksanaan dan hanya perlu dilakukan jika bekalan vaksin tidak mencukupi dan tiba tidak tepat masa.”

Subramaniam berkata, apabila bekalan vaksin bertambah, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada logistik pengedaran dan pentadbiran.

“Semakin banyak pusat, semakin cepat vaksinasi dapat dilakukan, dan dengan itu imuniti kelompok dapat dicapai.”