Van Dijk runtuhkan kubu Sunderland

Van Dijk runtuhkan kubu Sunderland

Sunderland: Virgil van Dijk muncul wira Liverpool apabila jaringannya menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Sunderland, sekali gus menghidupkan semula peluang The Reds memburu slot Liga Juara-Juara musim depan.

Kapten Liverpool itu meledak gol pada minit ke-61 menerusi tandukan padu hasil sepakan penjuru Mohamed Salah, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Sunderland di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool yang berada di tangga keenam kini hanya dipisahkan dua mata di belakang Chelsea di tempat kelima dan tiga mata daripada Manchester United di kedudukan keempat.

Pengendali Liverpool, Arne Slot, sebelum ini mengakui musim ini adalah paling sukar dalam kariernya dan menegaskan pasukannya perlu hampir sempurna untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Walaupun aksi di Stadium of Light jauh daripada sempurna, Liverpool tetap memanfaatkan peluang selepas keputusan seri yang dicatat United dan Chelsea membuka ruang buat mereka merapatkan jurang.

Florian Wirtz hampir meletakkan pelawat di depan lebih awal, namun percubaannya sekadar tersasar tipis dan dinafikan penjaga gol Robin Roefs, selain satu lagi rembatan jarak jauhnya terkena tiang.

Sunderland turut mengancam menerusi Trai Hume dan sempat membuat rayuan penalti pada penghujung babak pertama, namun tidak dilayan pengadil.

Gol Van Dijk akhirnya menjadi pemisah, dengan Liverpool bertahan kemas hingga wisel penamat walaupun terpaksa berdepan masalah kecederaan, sekali gus memastikan perjuangan mereka ke pentas Eropah terus bernyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top